Tuesday, 30 August 2016

PEDANG SAYIDINA UMAR IBN AL-KHATTAB RA



PEDANG SAYIDINA UMAR IBN AL-KHATTAB (RA)

   
    Sayidina Umar Ibn al-Khattab (RA) adalah seorang yang sangat berani, baik dalam kalangan para Sahabat mahupun dalam kalangan orang-orang Musyrikin. Pedang beliau pernah ditunjukkan kepada orang ramai. Ketika itu beliau berada di sebuah lembah di Makkah kerana ingin mengikuti Rasulullah (SAW) berhijrah ke Madinah.

     Pada suatu  hari, Sayidina Umar (RA) berkata dengan suara lantang, "Wahai orang-orang Quraisy! Sesiapa yang ingin ibunya mendapat kecelakaan, maka ikutlah aku." Menurut sejarah Islam, beliau sentiasa menyertai peperangan menentang musuh Islam selama berada di Madinah.


Ciri-ciri Pedang Sayidina Umar Ibn al-Khattab (RA)

. Pedang ini dinamakan al-Wisyah atau Zatul Wisyah.

. Panjang pedang ini berukuran 100 sm.

. Hulu pedang dilapik dengan kulit.

. Hujung pedang runcing dan diperbuat daripada emas.

. Digunakan untuk memancung dan menikam.

. Terdapat tulisan dalam Bahasa Turki "Amir Khattab al-Syarif" dalam kaligrafi  al-Kufi.


Info

. Nama sebenar Sayidina Umar Ibn al-Khattab (RA) ialah Abu Hafs Umar Ibn
   al-Khattab Ibn Nufail Ibn Abdil Uzza Ibn Riyah Ibn Abdullah Ibn Qurt Ibn
   Razzah Ibn Adiy Ibn Ka'ab Ibn Luai.

. Rasulullah (SAW) menamakan Sayidina Umar (RA) dengan nama "al-Faruq" pada hari keislaman beliau di Darul Arqam.

. Dengan keislaman Sayidina Umar (RA), bilangan umat Islam telah meningkat
  kepada 40 orang. Setelah itu, mereka berani keluar dan menzahirkan Islam.
  Allah (SWT) memisahkan antara yang hak dengan batil terhadap Sayidina
  Umar (RA).

. Rasulullah (SAW) didatangi Malaikat Jibril (AS) dan dia berkata:

"Wahai Muhammad! Ahli langit bergembira dengan keislaman Umar (RA)"

. Beliau adalah seorang yang benar dalam berbicara.
 
  Sabda Nabi (SAW):

"Sesungguhnya Allah (SAW) menjadikan kebenaran atas lisan Umar (RA)
dan hatinya."
(Riwayat Ahmad dan al-Bazzar)

  Sabda Nabi (SAW):

"Umar (RA) bersamaku dan aku bersama Umar (RA) Kebenaran bersama Umar (RA) di mana-mana sahaja beliau berada."

. Ibu beliau, Hantamah binti Hasyim Ibn al-Mughirah Ibn Abdullah Ibn Umar
  Ibn Makhzum.

. Dilahirkan di Makkah iaitu 13 tahun selepas kelahiran Rasulullah (SAW).

. Dilantik menjadi khalifah pada hari kematian Sayidina Abu Bakar as-Siddiq (RA) melalui wasiatnya pada bulan Jamadilakhir ketika berusia 52 tahun.

. Menjadi khalifah selama 10 tahun 6 bulan 4 hari.

. Beliau mati dibunuh oleh Abu Lu'luah iaitu seorang hamba kepada al-Mughirah   Ibn Syu'bah, ketika mengimami solat di Masjid Nabawi al-Syarif.

. Beliau pernah berdoa kepada Allah (SWT) agar diberi takdir untuk mati syahid  di Madinah al-Munawwarah. Akhirnya, doa beliau dimakbulkan Allah (SWT).

. Beliau meninggal dunia pada hari Rabu 4 Zulhijjah tahun 23 Hijrah ketika  berumur 63 tahun.

. Jenazah beliau disemadikan berhampiran dengan makam Nabi (SAW) dan  makam Sayidina Abu Bakar (RA).

  Sabda Nabi (SAW)
  
   "Jibrail (AS) berkata kepdaku, sesungguhnya Islam akan menangis atas  kematian Umar (RA)."

Peristiwa Bersejarah Sayidina Umar (RA)

     Adalah menjadi lumrah pada zaman jahiliah, apabila Sungai Nil menjadi kering, seoarang gadis cantik dicampakkan ke dalam sungai. Menurut mereka, dengan cara ini air sungai akan mengalir. Selepas Mesir dikuasai oleh Islam, peristiwa Sungai Nil menjadi kering berulang kembali. Lalu hal ini diadukan kepada Gabenor Mesir ketika itu, Sayidina Amru al-Ash (RA) dan ada yang mencadangkan adat kebiasaan jahiliah itu dilakukan.

     Apabila Sayidina Amru al-Asg (RA) mendengarkan perkara tersebut, lalu beliau menegah perbuatan itu. Air Sungai Nil tidak mengalir selama tiga bulan hingga menyebabkan para penduduk di kawasan tersebut bertekad untuk berpindah. Apabila melihuat senario tersebut, Sayidina Amru al-Ash (RA) menghantar surat kepada Sayidina Umar (RA).

     Sayidina Umar (RA) membalas surat Sayidina Amru al-Ash (RA) berserta sehelai kertas untuk dicampakkan ke dalam Sungai Nil itu. Sebelum Sayidina Amru al-Ash (RA) melaksanakan perintah Sayidina Umar (RA), beliau sempat meneliti kandungan kertas tersebut yang berbunyi,

       "Kertas ini daripada Umar Ibn al-Khattab Amirul Mukminin ditujukan kepada Sungai Nil di Mesir. Jika sebelumnya kamu mengalir dengan sendiri tanpa pertolongan daripada Allah (SWT), maka janganlah kamu mengalir. Tetapi
sekiranya Allah (SWT) yang Maha Esa dan Maha Perkasa mengalirkanmu, maka kami mohon kepada Allah (SWT) yang Maha Perkasa supaya mengalirkanmu semula."

     Lantas Sayidina Amru al-Ash (RA) mencampakkan kertas itu ke dalam Sungai Nil. Tatkala para penduduk di kawasan tersebut bersiap sedia untuk meninggalkan kawasan mereka, tiba-tiba air Sungai Nil pun naik dan mengalir deras sehingga mencecah 16 hasta tinggi pada malam tersebut.               
     
     Dikisahkan mengenai peperangan anatara tentera Musyrikin dengan tentera Islam. Suatu ketika, Abu Sufyan Ibn Harb berteriak dari atas bukit, "Wahai orang-orang Islam! Pertemuan diantara kita nanti adalah di Badar yang kedua. Pada tahun itulah, kita akan saling berperang semula." Rasulullah (SAW) berkata kepada Sayidina Umar (RA), "Wahai Umar! Katakan kepadanya, insya-Allah." Lalu Sayidina Umar (RA) menyampaikan perkara itu kepada Abu Sufyan.

     Pada awal tahun itu juga, Rasulullah (SAW) berangkat ke Badar demi menyahut cabaran Abu Sufyan. Tetapi Abu Sufyan ternyata mengingkari janjinya. Sementara itu, Rasulullah (SAW) mengamanahkan kepada Sayidina Abu Bakar (RA) dan Sayidina Umar (RA) untuk menyelesaikan masalah orang-orang kafir dan munafik di Madinah.

     Dalam peperangan menghadapi Bani Musthalaq, Sayidina Umar (RA) berteriak, "Wahai Bani Musthalaq! Tiada Tuhan selain Allah (SWT) yang dapat melindungi jiwa dan harta benda kamu." Tetapi mereka menolaknya dan tetap menginginkan kakafiran dan peperangan.

     Rasulullah (SAW) pernah mengutuskan Sayidina Umar (RA) bersama 30 orang tentera Islam untuk memerangi suku Hawazin. Namun misi penyerbuan itu telah sampai pada pengetahuan mereka lalu serta-merta mereka bertindak melarikan diri sehingga tiada seorang pun dapat ditangkap. Akhirnya, SayidinaUmar (RA) kembali ke Madinah. Ini menandakan bahawa kebenaran Sayidina Umar (RA) dalam berperang telah diakui hingga musuhnya lari dengan tunggang-langgang walaupun hanya mendengar nama beliau.

.    Imam Haramain

Dalam kitab as-Syamil, menceritakan tragedi gempa bumi yang berlaku pada zaman Sayidina Umar (RA). Setelah beliau memuji Allah (SWT), lalu beliau memukul tanah dengan cambuknya sambil berkata:

"Wahai bumi! Diam. Adakah aku tidak berlaku adil atas permukaanmu?"

Tidak lama kemudian, gempa bumi itu berhenti.

.    Imam Fakhrul Razi

Ketika mentafsirkan surah al-Kahfi, iaitu berkisar tentang peristiwa kebakaran besar di Madinah. Dikisahkan bahawa Sayidina Umar (RA) menulis atas secarik perca. Antara isinya:
              
    "Wahai api! Diamlah dengan izin Allah (SWT)."

Kemudian, Sayidina Umar (RA) mencampakkan perca tersebut ke dalam api yang sedang marak, lantas api itu terus padam.

.    Imam an-Nawawi

Sayidina Umar (RA) adalah orang yang pernah menyaksikan segala peristiwa bersama Rasulullah (SAW). Beliau juga turut mendampingi Rasulullah (SAW) kerika Perang Uhud dan Hunain.

.    Imam Ibnu Hajar al-Asqalani

Dalam kitab al-Isobah fi Tamyiz ash-Shohabah, Ibnu Hajar al-Asqalani membaca kitab al-Umm, karangan Imam Syafi'i yang menyatakan bahawa Sayidina Umar (RA) telah membunuh 'Ayyinah Ibn Hushan al-Fazari yang telah murtad.


Tahukah Anda?
.   Sayidina Umar Ibn al-Khattab (RA) adalah orang yang pertama mendapat gelaran Amirul Mukminin.



Pedang Sayidina Umar Ibn al-Khattab (RA)

Panjang pedang berukuran 100 sm, beratnya 1,164 gm.
Hulu pedang dilapik dengan kulit.
Penyilang pada hulu pedang diperbuat daripada besi.
Terukir tulisan "Muhammad Pesuruh Allah, Umar Ibn al-Khattab" pada bilah pedang.
Sultan Uthmaniyah memakai salah satu pedang Umar Ibn al-Khattab.
Panjang sarung pedang berukuran 95 sm, diperbuat daripada kulit.

Kancing pedang bersalut emas.

PEDANG SAYIDINA ABU BAKAR AS-SIDIQ RA



PEDANG SAYIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ (RA)

Pedang Sayidina Abu Bakar (RA) mempunyai nilai dan keistimewaan yang tersendiri. Malah, pedang yang digunakan oleh Sayidina Abu Bakar (RA) banyak membawa kemenangan kepada Islam ketika beliau dan pasukan Muslimin berperang dengan pasukan Musyrikin.


Ciri-ciri Pedang Sayidina Abu Bakar (RA)

Panjang pedang ini berukuran 100 sm.

Lebar hulu pedang mencapai 4 sm.

Orang-orang Turki menghiasi hulu pedang dengan lapisan kulit yang telah  disamak.

Hujung pedang diperbuat daripada besi.

Sarung pedang dilapisi kulit yang telah disamak.

Lingkaran hulu pedang dilapisi corak hiasan.


Kisah Rasulullah (SAW)

Nabi pernah mengutuskan Sayidina Abu Bakar (RA) untuk memimpin pasukan
Islam untuk menyerang Bani Fazarah. Lalu beliau berjaya membunuh dan
menawan musuh Islam tersebut. Malah, Nabi SAW juga pernah memerintahkan
Sayidina Abu Bakar (RA) untuk memimpin pasukan Islam untuk menyerang Bani Kilab.
                                         (Diceritakan dalam Sahih Muslim)


Info

Nama sebenar Sayidina Abu Bakar as-Siddiq (RA) ialah Abdullah Ibn
    Abu Qahafah Uthman Ibn Amir Ibn Ka'ab al-Taimi al-Quraisyi.

Nasab beliau bertemu dengan nasab Rasulullah (SAW) iaitu di sebelah
    Kakaknya, al-Murrah.

Orang yang pertama mempercayai kerasulan Muhammad (SAW)
Seorang pembesar Arab dan dilantik sebagai khalifah pertama umat Islam.

Atiq Ibn Abi Qahafah AS ialah bapa mertua Rasulullah (SAW) dan juga  sahabat Baginda ketika berada di dalam gua. Diberi nama Atiq kerana beliau dijanjikan Rasulullah (SAW) bebas daripada api neraka.

Daripada Aisyah (RA), bahawa Nabi (SAW) berkata kepada Sayidina Abu
    Bakar (RA) :

                      " Kamu bebas dari neraka."
                                                  (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Beliau merupakan kekasih Rasulullah (SAW) dan sahabat yang sentiasa membenarkannya.

Dilantik sebagai khalifah pada hari kewafatan Rasulullah (SAW) di Dewan  Bani Saadah.

Menjawat jawatan khalifah ketika berusia 60 tahun.

Ibnu Asakir meriwayatkan bahawa Nabi (SAW) bersabda:

       " Mengasihi Abu Bakar (RA) dan Umar (RA) adalah perkara sunnah."

Daripada Ibnu Umar (RA) bahawa Rasulullah (SAW) berkata kepada        Sayidina Abu Bakar (RA) :

"Kamu adalah sahabatku di Telaga Kauthar dan sahabatku semasa di dalam gua."

Sayidina Abu Bakar (RA) meninggal dunia pada tahun 13 Hijrah.

Tempoh pemerintahan beliau adalah selama dua tahun tiga bulan sahaja.

Jenazah beliau disemadikan di sebelah makam Rasulullah (SAW).


Sebab Keislaman Sayidina Abu Bakar (RA)

   Dalam kitab Umdah al-Tahqiq diceritakan tentang keislaman Sayidina Abu Bakar (RA). Semasa Sayidina Abu Bakar (RA) berniaga di Syam, beliau telah bermimpi bulan dan matahari jatuh di atas ribanya. Kemudian, beliau mengambilnya dengan kedua-dua tangannya lalu didakap ke dadanya dan menyelimutkannya dengan selendangnya.

     Setelah terjaga, Sayidina Abu Bakar (RA) pergi berjumpa seorang pendeta Nasrani untuk menanyakan mimpi tersebut dan mentafsirkannya. Lalu pendeta itu Bertanya, "Dari mana kamu datang?" Jawab Sayidina Abu Bakar (RA), dari Makkah. Dia bertanya lagi, "Kamu daripada kabilah mana?" Jawab beliau, dari        
Kabilah Bani Taim. Dia bertanya lagi, "Apakah Pekerjaan kamu?" Jawab beliau peniaga.

     Lalu pendeta itu berkata kepada Sayidina Abu Bakar , "Pada zaman kamu nanti, ada seorang lelaki yang dipanggil Muhammad (SAW) al-Amin. Kamu akan mengikutinya kelak. Baginda berasal dari kabilah Bani Hashim dan merupakan nabi akhir zaman. Jika bukan kerananya, Allah (SWT) tidak akan menjadikan tujuh petala langit dan bumi serta
sesuatu di antara kedua-duanya. Begitu juga dengan kejadian makhluk-Nya iaitu Nabi Adam (AS), para nabi dan rasul. Baginda adalah penghulu segala nabi dan penutup segala rasul. Kamu akan memasuki agamanya dan akan menjadi seorang menteri dan khalifah selepasnya.

     Sesungguhnya aku menemui sifat dan rupa paras. Baginda di dalam kitab Injil dan Zabur. Lantas aku memeluk Islam dan beriman dengannya. Namun, aku menyembunyikan keislamanku daripada pengetahuan orang-orang Nasrani kerana takut akan ancaman daripada mereka.

     Selepas Sayidina Abu Bakar (RA) mendengar tentang sifat Nabi (SAW), lalu timbul perasaan ingin melihat Baginda secara dekat. Lantas beliau pergi ke Makkah dan mendapati Baginda berada di sana. Beliau amat mengasihi Baginda dan tidak sabar untuk melihatnya walaupun sesaat sahaja.   


Setelah lama masa berlalu, Rasulullah (SAW) berkata kepada Sayidina Abu Bakar (RA), "Wahai Abu Bakar! Setiap hari kamu datang dan duduk bersamaku tetapi kamu tidak masuk agama Islam." Lalu Sayidina Abu Bakar (RA) berkata,

"Sekiranya kamu adalah seorang nabi, tentulah kamu mempunyai mukjizat." Maka Rasulullah (SAW) berkata kepadanya, "Apakah tidak memadai bagi kmau terhadap mukjizat yang telah kamu lihat sewaktu berada di Syam dan tafsiran mimpi kamu oleh pendeta Nasrani tersebut. Selepas mendengar kata-kata Baginda itu, lantas Sayidina Abu Bakar (RA) terus mengucapkan dua kalimah syahadah.
    
     Terdapat 10 orang yang memeluk Islam melalui usaha dakwah yang dilakukan oleh Sayidina Abu Bakar (RA). Berikut adalah antara 10 orang yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah (SAW):

.  Sayidina Uthman (RA).
.  Sayidina Tolhah (RA).
.  Sayidina Zubair (RA).
.  Sayidina Sa'ad (RA).
.  Sayidina Abdur Rahman Ibn 'Auf (RA).

     Pemerintahan Sayidina Abu Bakar (RA) adalah selama tiga tahun dua puluh hari. Beliau meniggal dunia pada hari Isnin. Ada yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia pada hari Jumaat, 7 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah ketika berusia 63 tahun.


Punca Kematian Sayidina Abu Bakar (RA)

Pendapat 1:

. Sayidina Abu Bakar (RA) meninggal dunia akibat termakan daging yang  diletakkan racun di dalamnya. Ibnu al-Kalbi menyatakan bahawa Sayidina Abu Bakar (RA) adalah khalifah yang pertama mati akibat termakan racun.

Pendapat 2:

. Pada suatu hari, Sayidina Abu Bakar (RA) dan Sayidina al-Harith Ibn Kaldah (RA)  menikmati hidangan roti yang dihadiahkan kepadanya. Lalu Sayidina al-Harith (RA) berkata kepada Sayidina Abu Bakar (RA), "Angkatlah tanganmu, wahai khalifah Rasulullah! Demi Allah, sesungguhnya di dalam roti itu ada racun yang akan membunuh selepas setahun. Aku dan kamu akan mati pada hari yang sama." Lantas Sayidina Abu Bakar (RA) pun mengangkat tangannya lalu beliau berasa sakit. Mereka menderita kesakitan akibat racun tersebut sehingga kedua-duanya meninggal dunia pada hari yang sama iaitu selepas setahun kejadian itu berlaku.

Pendapat 3:

. Sayidina Abu Bakar (RA) meninggal dunia akibat mandi pada hari sejuk setelah beliau menghidapi demam yang berlarutan selama 15 hari. Sejak itu, beliau tidak berupaya untuk keluar bersolat secara jemaah. Dengan ketiadaan beliau yang biasanya mengimami solat berjemaah, maka tempatnya diganti oleh Sayidina Umar Ibn al-Khattab (RA).



Pendapat 4:

. Sayidina Abu Bakar (RA) meninggal dunia akibat dipatuk ular yang berbisa    ketika berada di dalam Gua Hira' bersama Rasulullah (SAW) dalam perjalanan berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

     Ibnu Athir menyebutkan dalam kitab al-Iktafa', bahawa perkataan terakhir    yang diucapkan oleh Sayidina Abu Bakar (RA) ialah :

       "Tuhan! Matikan aku dalam Islam dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh."

     Setelah Sayidina Abu Bakar (RA) menghembuskan nafas terakhir, para penduduk di Madinah menangis dan amat bersedih atas pemergian beliau sebagaimana peristiwa kewafatan Rasulullah(SAW).

     Sayidina Abu Bakar (RA) mewasiatkan kepada isterinya, Asma' binti Amis (RA) agar memandikan jenazahnya jika beliau meninggal dunia. Asma' (RA) adalah isteri yang pertama dalam Islam yang memandikan jenazah suaminya. Malah, Sayidina Abu Bakar (RA) juga mewasiatkan agar jenazahnya hendaklah disemadikan berdekatan dengan makam Rasulullah (SAW) sebagaimana katanya:

        "Apabila aku telah mati, maka bawalah aku ke pintu, iaitu pintu yang terdapat   makam Rasulullah (SAW) di dalamnya. Tolak pintu tersebut, sekiranya ia dibuka bagi kamu, semadikanlah aku."

     Sayidina Jabir (RA) berkata, "Apabila kami mengetuk pintu lalu ia terbuka dengan sendiri." Lalu kami pun berkata, " Ini Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq (RA) yang teringin jenazahnya disemadikan di sisi Nabi (SAW). Kami tidak mengetahui siapakah gerangan yang membuka pintu dan berkata kepada kami.

     Dalam kitab al-Sofwah dan jiga riwayat lain, bahawa mereka mendengar satu suara yang berkata,

                                  " Himpunkanlah kekasih dengan kekasihnya."

        Sayidina Umar al-Khattab (RA) menyembahyangkan Sayidina Abu Bakar (RA) di dalam masjid Rasulullah (SAW) iaitu antara makam Rasulullah (SAW) dengan mimbarnya. Jenazah Sayidina Abu Bakar (RA) dibawa dengan katil yang digunakan untuk membawa jenazah Rasulullah (SAW). Katil itu adalah kepunyaan Sayiditina Aisyah (RA).



Peperangan Yang Disertai Sayidina Abu Bakar (RA)


Dalam Perang Uhud

. Sayidina Abu Bakar (RA) sentiasa berada di samping Nabi (SAW) berserta     sahabatnya, Sayidina Tolhah (RA) untuk melindungi Baginda daripada serangan musuh.

Dalam Perang Badar

Sayidina Ali (RA) berkata, "Siapakah manusia yang paling berani?"
    Jawab mereka, "Kamulah." Beliau berkata lagi, "Sesungguhnya aku bukan
    orangnya. Aku hanya menirunya daripada seseorang. Katakanlah           kepadaku, "Siapakah manusia yang paling berani?" Jawab mereka, "Kami tidak tidak tahu orangya." Sayidina Ali (RA) pun berkata, "Abu Bakarlah orangnya." Lalu mereka pun ingin membuat pertahanan bagi Rasulullah (SAW).

    Mereka berkata pula, "Siapakah gerangan yang mahu bersama Rasulullah
    (SAW) agar kaum Musyrikin tidak dapat mencerobohi Baginda? Demi Tuhan,
    tidak ada seorang pun dalam kalangan Musyrikin yang dapat melukakan
    Rasulullah (SAW). Ini kerana Sayidina Abu Bakar (RA) sentiasa bersama
    Baginda sambil menghunuskan pedangnya tanpa beliau mengalami sebarang kecederaan.
                                     (Riwayat al-Bazzar dalam Musnadnya)

Dalam Perang Hunain

. Sayidina Abu Bakar (RA) bersama lapan tentera Islam berusaha menjaga
  Rasulullah (SAW) daripada serangan pihak Musyrikin.

Apabila Nabi (SAW) Wafat, Sayidina Abu Bakar (RA) mengambil tindakan untuk menyerang orang-orang murtad bagi mengembalikan mereka ke jalan yang benar. Langkah seterusnya pula, Sayidina Abu Baka (RA) memerintahkan pasukan Islam yang dipimpin oleh Sayidina Usamah Ibn Zaid (RA) untuk menakluki Negeri Syam dan beberapa wilayah di Iraq.


Tahukah Anda? 

. Sayidina Abu Bakar (RA) adalah seorang sahabat yang sentiasa mendampingi
  Rasulullah (SAW) dalam setiap keadaan termasuk dalam peperangan. Ini
  kerana rasa cinta dan kasih yang tinggi terhadap diri Baginda.


Pedang Sayidina Abu Bakar as-Siddiq (RA)

. Panjang pedang berukuran 98.5 sm, beratnya 850 gm.
. Penyilang pada hulu pedang diperbuat daripada besi.
. Hulu pedang dilapik dengan kulit.

. Pedang bermata dua; tajam pada salah satu bilahnya.