SENJATA PEJUANG ISLAM

SENJATA PEJUANG ISLAM

Ketahuilah bahawa senjata umat Islam yang utama untuk menjayakan perjuangan mereka ialah IMAN & TAQWA. Inilah satu-satunya senjata yang tidak ada pada orang kafir. Dengan senjata ini sajalah kita boleh kalahkan orang-orang kafir itu atau orang munafik, Komunis, Amerika, Rusia, Yahudi serta musuh batin, nafsu dan syaitan. Tanpa taqwa, dengan kekuatan apa pun, ekonomi, ilmu pengetahuan, ketenteraan dan senjata, pasti kita tidak akan mampu menentang kegagahan musuh-musuh Allah yang jauh lebih gagah dari kita.

IMAN & TAQWA ADALAH SENJATA UMAT ISLAM. DAPATKAN EBOOK PERCUMA BERTAJUK:- 3 RAHSIA AKBAR CARA MENDAPATKAN IMAN; RESEPI KEPADA KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT 

Oleh itu marilah kita bertaqwa. Apa itu taqwa? Taqwa ialah rasa hati yang sangat takut pada Allah kalau terbuat atau membuat dosa kecil apalagi dosa besar. Rasa takut itu macam takutkan gunung yang hendak dihempapkan ke kepala. Ngeri, sakit, cemas dan bimbang sangat mengganggu dirinya. Maka dia bertaubatlah, dia bersungguh-sungguh minta Allah ampunkan dosanya dan minta dibantu untuk tidak berbuat dosa lagi.

Seorang sahabat Nabi baru balik dari medan perang, dia tibatiba ternampak di pintu rumahnya betis seorang perempuan (isteri sahabatnya). Terus ia melompat keluar dari pintu dan berlari meninggalkan rumahnya bertahun-tahun, bertaubat dengan Allah kerana ketidak sengajanya itu. Rintihan taubatnya itu turut menjadi amalan kita sehingga hari ini:

“Tuhanku, aku memang tidak layak untuksyurga-Mu. Dan aku juga tidak tahan menanggung akan seksa api neraka-Mu, oleh itu ya Allah, terimalah taubatku dan ampunkanlah dosaku kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dosa-dosa besar.”
Begitu taqwanya, takutnya pada Allah kerana kesilapannya, walaupun tidak sengaja tetapi dia kesal, kenapa perkara haram itu terjadi padanya? Tentu ada maksud Allah. Mungkin ia sebagai ‘hukuman’ Allah kerana dia masih suka berbuat begitu. Sebab itu Allah temukan dengan perkara itu. Perasaan itu yang membuat dia begitu takut dan malu dengan Allah. Itu membuatkan dia menghukum dirinya tidak mahu pulang selagi dirinya tidak jadi manusia yang baik seperti yang Allah kehendaki.

 
Bersatu menurut Islam bukan sekadar berkumpul untuk mengutuk dan mengecam musuh, tetapi adalah sama-sama memahami, menghayati dan melaksanakan kelima-lima hukum haram, makruh, harus dan sunat.

Sayidina Abu Bakar As Siddiq pemah terleka di kebunnya hingga tertinggal sembahyang berjemaah asar (bersama Rasulullah S.A.W.) Dengan rasa takut dan kesal yang tidak terkira, terus diwakafkan kebun itu sebagai hukuman pada dirinya, Di samping itu digandakan sembahyangnya sebanyak 70 kali (sebab pahala berjemaah ialah sebanyak 70 kali). Begitulah taqwa para sahabat. Takutya mereka pada Allah bila mengenangkan dosa dan api neraka boleh membawa pengsan dan setengahnya terus mati. Oleh kerana begitu sekali takutnya untuk melakukan kejahatan dan dosa, maka yang tinggal dalam hati mereka ialah keinginan yang kuat untuk membuat kebaikan dan amal soleh, kebaikan dengan Allah dan dengan sesama manusia. Maka jadilah mereka orang-orang muttaqin, iaitu orang-orang yang:

1. Memahami, meyakini dan menghayati keenam-enam rukun iman.
2. Memahami, meyakini dan menghayati kelima-lima rukun Islam.
3. Menegakkan amal makruf nahi mungkar.
4. Berjihad melaksanakan cara hidup Islam.
5. Berakhlak mulia iaitu berkasih sayang dengan sesama mukmin, tegas dan keras dengan orang kafir, berbelas kasihan pada orang yang kurang dan susah seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri, pemurah, pemaaf dan suka minta maaf, bertaubat, sabar, bertolak ansur, berlapang dada, bertolong bantu, berani, tawakal, tawaduk (tidakbesardiri), berbaik sangka, bertimbang rasa, gembira dengan kegembiraan orang lain, susah dengan kesusahan orang lain dan memikirkan kepentingan orang lain seperti memikirkan kepentingan diri sendiri.

Semua itu mesti ada untuk seorang yang dikatakan bertaqwa Kalau kurang satu pun kuranglah taqwanya. Sebab itu golongan bertaqwa itu dibahagi dua:

i. Muqarrobin
ii. Solihin

Namun kedua-duanya adalah mukmin sejati. Orang yang hanya ada salah satu daripada ciri-ciri’ taqwa, tidak boleh dipanggil orang yang bertaqwa tetapi digelarkan sesuai dengan nama sifat baiknya itu. Misalnya orang yang rajin dan bersungguh-sungguh beribadah dipanggil abid. Seorang abid belum tentu bertaqwa kalau ada padanya bakhil, hasad dengki, gila kuasa dan lain-lain.
Seorang yang gigih berjuang dan berjihad dipanggil mujahid. Mujahid belum tentu bertaqwa kalau ada padanya sombong, takabur, membazir, tidak sabar, tidak tolak ansur dan lain-lain. Orang dermawan dipanggil assakhi (pemurah). Pemurah belum tentu bertaqwa kalau adapadanya pendendam, mengadu domba, berburuk sangka dan lain-lain.

Pendakwah dan para ulama mestilah gigih menjelajah seluruh Negara, bertemu dengan rakyat di pedalaman, menziarahi orang sakit di hospital, berdakwah kepada orang asli di hulu-hulu negeri tanpa bayaran gaji, elaun perjalanan dan pangkat

Orang yang gigih berdakwah dipanggil da’i atau mubaligh. Seorang da’i belum tentu bertaqwa kalau dia cuai sembahyang, arnbil riba, bebas dengan perempuan ajnabi dan lain-lain.

Orang bertaqwa ialah orang yang membuat semua kebaikan yang Allah suruh buat (lahir dan batin, dengan Allah dan dengan sesama manusia), kerana takutnya untuk melakukan dosa walaupun sekecil-kecil dosa. Pejuang Islam mesti sedar hakikat ini. Jangan mudah-mudah mengaku beriman dan bertaqwa sedangkan banyak lagi suruhan Allah S.W.T yang kita tidak buat. Ertinya kita ini orang berdosa, hamba Allah yang derhaka. Panggilan yang layak untuk kita ialah mukmin yang derhaka atau mukmin yang fasik (asi) atau mukmin yang zalim. Bukan mukmin yang sejati, bukan solihin dan lebih-lebih lagi bukan muqarrobin. Kalau mati ketika ini, dalam keadaan taubat tidak diterima, dosa tidak terampun, nescaya malaikat akan melempar kita ke lubuk neraka. Dituang dengan air yang mendidih dan makan buah zaqqum yang sangat menyeksakan. Itulah janji Allah. Dan Allah tidak pernah mungkir janji.

Kalau begitu kenapa salahkan musuh? Kegagalan yang Allah timpakan pada kita lepas satu, satu dan makin teruk itu sebenamya satu pemberitahuan bahawa kita telah tidak ditolong Allah, Allah biarkan kita dan Allah hinakan kita kerana kita tidak mahu bertaqwa, banyak dosa dan tidak mahu bertaubat, di samping tidak mahu belajar dari kesilapan atau dari kawan-kawan se-Islam yang sama-sama berjuang. Dosa-dosa itulah yang menjadikan kita tewas di tangan musuh.

Sedangkan orang bertaqwa, ujian yang berat merupakan baja untuk menyuburkan perjuangan mereka. Bagi kita, ujian-ujian itu nampak menghina dan tambah melemahkan kita. Makin berjuang makin kalah. Makin kuat kita mencaci musuh makin sikit kerusi dalam parlimen. Bukankah itu ertinya perjuangan kita tidak dibantu oleh Allah. Kenapa Allah biarkan kita? Berkatalah Sayidina Umar Ibnu Khattab:

"Aku lebih takut pada dosamu daripada musuh-musuhmu. Kerana bila kamu berdosa Allah akan biarkan kamu pada musuh-musuhmu."

 * Maknanya, kegagalan kita ialah kerana dosa-dosa kita, kerana kita tidak bertaqwa. Ertinya salah itu terletak pada diri kita bukan pada orang lain. Dan selagi kesilapanitu tidak dibetulkan, tidak bertaubat dan tidak dididik dan dilatih dengan iman dan taqwa, buatlah macamana pun, insyaAllah kita tidak akan boleh menang: Sebab kita langgar syarat dari Allah. Syarat taqwa. Janganlah buat helah lainlain lagi, itu dan ini untuk dijadikan alasan kegagalan kita itu. Mengakulah dengan Allah bahawa kitabelum bertaqwa, sebab itu Allah tidak tolong! Sebab Allah hanya akan menolong orang yang bertaqwa. 

Firman-Nya:

Terjemahan: Allah pembela orang-orang yang bertaqwa
(Jasiyah : 19)

Firman-Nya lagi:

Terjemahan: Barangsiapa bertaqwa Allah akan lepaskan dari kesulitan hidup dan diberi rezeki dari sumber yang tidak diduga (At Talak : 2 - 3)

Firman-Nya lagi:

Terjemahan: Jika penduduk suatu kampung (jemaah atau kumpulan) itu bertaqwa, Allah akan bukakan untuk merek.a barakuh dari langit dan bumi. (Al A’araf : 96)

Jangan pula disalah fahamkan taqwa itu dengan orang-orang yang jumud dan beku. Iaitu orang-orang penunggu masjid yang berpakaian lusuh dan miskin papa, anti kemajuan dan pembangunan. Generasi taqwa yang jadi contoh ialah salafus soleh, para sahabat yang hidup mereka digambarkan begini:

"Menjadi pendita (abid) di malam hari, menjadi singa (pejuang) di siang hari.”

Dalam keadaan hati rindu dan takut pada Allah, mereka bertaburan di tengah manusia di seluruh dunia untuk mengubah dunia dari jahiliah kepada Islam. Dari undang-undang taghut kepada kalimah Allah. Dari kekotoran najis dosa kepada kemurnian hati yang bertaqwa. Dari peperangan dan penzaliman kepada keamanan, keadilan, kemakmuran, supaya manusia semua mahu sujud pada Allah, Tuhan yang menciptakannya dan yang akan mematikannya.
Kekuatan umat Islam adalah pada IMAN & TAQWA. Solat adalah pokok dalam membina kekuatan itu dengan khusyuk dan rasa kehambaan yang terpancar darinya

Itulah kerja orang yang bertaqwa. Dan kalau kita boleh buat begitu barulah Allah percaya untuk mengamanahkan negara dan dunia ini pada kita. Kalau masih belum, iaitu kalau perangai kita masih macam hari ini maka jika Allah serahkan Malaysia ini, lebih-lebih lagi seluruh dunia, habis harta bendanya masuk poket kita pula. Kata hendak bela rakyat tetapi di belakang pentas kaki disko, judi atau jadi taukeh-taukeh besar yang memiliki bermacam-macam lesen dan rumah sewa dan yang punya banyak simpanan di bank dunia. Kaum keluarga kita automatik jadi kaya. Rakyat entah ke mana, negara jadi milik kita sekeluarga saja.

Kalau taqwa belum cukup, jangan berangan boleh selamat dari tipuan dunia.

Firman-Nya: Terjemahan: Kehidupan dunia tiada lain hanya kesenangan yang menipu daya. (Ali Imran : 185)

Waktu belum dapat, belum naik pangkat, memang kita bersumpah untuk berlaku adil, berkhidmat pada masyarakat, nak jadi orang yang zuhud, warak, dan lain-lain. Tapi bila dah jadi menteri, atau taukeh besar, lain macam pula cakapnya. Terkejutlah penyokong-penyokongnya. Kalau tidak percaya cuba baca sejarah hidup wakil-wakil rakyat yang sudah pernah jadi menteri atau taukeh besar di dunia hari ini. Bila dapat kerusi dalam parlimen, hinggalah kerusi terlepas dari tangan, apa yang dia boleh buat ialah lebih kaya dari sebelumnya. Itu saja. Hukum Islam sekalipun yang kecil-kecil tidak satu pun diusaha untuk ditegakkan.

Kalau bukan dengan taqwa, tiada siapa boleh diamanahkan menjaga negara dan rakyat jelata. Itu baru seorang, dia ambil sebahagian dari kekayaan. Kalau ramai-ramai yang naik, yang hati dan perangai lebih kurang macam itu juga, habislah kekayaan negara diperebutkan untuk kaum keluarga mereka saja atau ‘klik-klik’ mereka saja.

Lihatlah sejarah pemimpin yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W, ketika Siti Fatimah minta seorang rampasan perang untuk dijadikan khadam pembantu rumah, ditolaknya permintaan itu. Sebagai ganti dimintanya Siti Fatimah supaya berzikir Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 33 kali sebelum tidur. Hingga jadilah Siti Fatimah semiskin-miskin manusia tapi dia tetap sabar. Akhimya dia layak jadi penghulu wanita syurga.

Sayidina Umar menampal dinding rumahnya sendiri. Pakaiannya bertampung dan kasutnya yang koyak dijahit untuk dipakai lagi, sedangkan kunci perbendaharaan dan kekayaan negara berada dalam tangannya. Bila diketahui ada janda dan anak yatim kelaparan, segera ditanggung seguni gandum untuk dihantar ke rumah rakyatnya itu. Khadamnya minta untuk menanggung, tetapi tidak dibenarkan dengan katanya:

“Bukan engkau yang akan menanggung dosaku di akhirat nanti.”

Ketika seekor kambing rakyatnya mati, Sayidina Umar menangis kerana dirasanya kematian itu adalah kerana kesalahannya. Begitulah taqwanya, sensitifnya dengan dosa. Sebab itu terkeluar dari mulutnya kata-kata yang ajaib ini:

“Sekiranya nanti (di akhirat) diumumkan semua orang masuk syurga, kecuali seorang, maka aku rasa yang seorang itu ialah aku.”

Alangkah takutnya Sayidina Umar dengan dosa-dosanya. Dirasanya dirinya penuh dengan dosa. Kesilapannya dengan rakyat akan membuatkan dia menangis hingga berbekas aliran air mata itu pada pipinya. Dia rasa dia tidak selamat, walaupun sudah diisytiharkan oleh Rasulullah yang beliau termasuk 10 orang sahabat yang dijamin syurga.

Waktu pemerintahan  Sayidina Ali k.w, janda-janda dan fakir miskin selalu dapat bekalan makanan di pintu mmah mereka. Tetapi mereka tidak tahu siapa yang meletakkan rezeki itu di situ. Tidak terfikirlah oleh mereka Sayidina Ali yang memberinya kerana beliau pun terkenal dengan kemiskinannya. Hingga bila Sayidina Ali wafat, bekalan-bekalan itu terhenti. Maka fahamlah rakyatnya, Sayidina Ali-lah yang berjalan malam pergi ke pintu-pintu rumah fakir miskin, anak yatim dan janda-janda untuk hantar makanan. Sejak itu terkenal Sayidina Ali dengan panggilan bapa fakir miskin dan janda.

Khalifah terus mewakafkan semua hartanya untuk negara. Begitulah pemimpin yang bertaqwa. Takut mereka pada dosa, membuatkan mereka menyeksa diri untuk rakyatnya. Harta rakyat tidak disentuhnya takut kalau-kalau itu akan jadi sentuhan api neraka. Jadi, pada mereka pemimpin adalah seolah-olah jadi kuda tunggangan yang sentiasa berlari ke sana berlari ke sini untuk menunaikan kehendak orang ramai.

Sebab kalau jiwa tidak bersedia, nafsulah yang akan menguasai dan merajai kita. Apakah nafsu kita sekarang nafsu yang selamat, yakni nafsu mutmainnah? Kalau belum mengapa meminta untuk jadi pemimpin negara, yang hukumnya fardhu kifayah sedangkan kalau benar-benar kita insafi, permintaan itu hakikatnya, seolah-olah meminta api neraka dari Allah S.W.T.

Rasulullah mengambil masa 13 tahun untuk mendidik iman dan taqwa para sahabat. Setelah 10 tahun kemudian barulah baginda merancang pembangunan negara Islam kecil yakni Madinah. Dibangunkan sekolah sebagai kilang mengeluarkan ilmuan yang bertaqwa, penyambung dan pelapis perjuangan. Dibangunkan ekonomi dengan membuka pasar Ansar dengan pengurusnya Sayidina Abdul Rahman bin Auf. Begitulah perjuangan itu berkembang dan terus membesar hingga akhirnya 3/4 isi dunia menyerah diri pada Islam.

Itulah cara memperjuangkan Islam yang dibuat oleh Rasulullah. Dan itulah satu-satunya cara yang benar dan tepat. Habis keriapa kita tidak mahu mencontohinya? Kenapa kita ada pandangan yang sangat menyimpang dari apa yang dibuat oleh Rasulullah? Rasulullah pernah ditawar untuk jadi raja tetapi baginda menolaknya sebab bukan cara itu mendidik umat dan itu bukanlah cara yang tepat untuk memulakan satu perjuangan. Bukan melalui istana atau melalui kerusi Perdana Menteri atau menteri-menteri lain. Sedangkan pada masa itu ramai rakyat jelata masih belum bersedia untuk tunduk pada hukum-hukum Allah yang terlalu asing buat mereka.

Konon kita terlalu bimbangkan negara diambil orang, sebab itu kita mesti pertahankan. Kalau betul takut orang asing memerintah negara ini, cara terbaik sekali bukannya kita bergaduh dan berpecah belah sesama Islam, untuk berebut kerusi pemerintahan. Adalah lebih baik menjadi penasihat kerajaan itu melaksanakan syariat, di samping memandu pemerintah untuk mentadbir negara dengan baik serta berusaha meng-Islamkan orang yang bukan Islam. Itukan lebih baik dan lebih menguntungkan umat Islam. Tetapi kita tidak buat begitu. Kita hentam kerajaan umat Islam di dunia hari ini dari belakang, kita hina dan buruk-burukkan hingga terpecahlah umat Islam kepada dua kumpulan besar. Alangkah bahayanya perbuatan ini. Tetapi kita tidak terfikir pun begitu. Kita berebut juga kerusi kerana ingin ambil alih tampuk pemerintahan.
Sejauh mana kita membuang sistem hidup yahudi dan nasrani didalam hidup kita? Kadang-kadang akhlak kita meniru cara hidup yahudi dan nasrani.

Adakah perjuangan kita itu benar-benar membawa umat yang cinta Islam itu kepada cara hidup Islam. Tetapi jelasnya tidak begitu. Kita tidak didik mereka dengan iman dan taqwa, dengan akhlak mulia, dengan kerja-kerja menegakkan cara hidup Islam dan dengan sistem pentadbiran dan politik yang tepat dengan Islam. Kita hanya bersemangat politik pilihanraya yang kotor, mencerca dan memfitnah satu sama lain. Kemudian kita lagakan mereka sekampung. Hancui berkecai perpaduan umat. Kemudian kita syarahkan perpaduan ummah, negara Islam, dunia Islam. Bila orang tanya mana dia Islam itu? Tunggu! Tunggu hingga kita dapat kuasa memerintah negara.

Alangkah kejamnya perjuangan kita itu. Kita bohongi masyarakat konon Islam tidak boleh bangun tanpa kuasa. Padahal sebenarnya macam-macam boleh dibuat tanpa kuasa. Hingga kerana itu terbiarlah rakyat dari hari ke hari, hidup dalam cara hidup yang tidak menentu. Agamanya Islam, tetapi hidupnya tidak macam orang Islam yang hakiki. Sampai bila hal ini mahu kita pertahankan? Apakah kita tidak takut satu hari masyarakat akan sedar tentang penipuan ini? Dan mereka akan menentang kita dan meninggalkan kita seorang diri?

Senjata untuk perjuangan Islam yang utama ialah taqwa. Sebab dengan taqwa Allah akan bantu. Bila Allah bantu, tiada kuasa apa lagi yang boleh mengalahkan kita. Pertolongan Allah bermacam-macam bentuknya. Kalau dalam medan perang, ialah dengan menurunkan malaikat beribu-ribu banyaknya untuk mengalahkan orang kafir. Tetapi kalau di medan dakwah dan tarbiah Allah beri bantuan dengan cara lain pula. Antaranya:


1. Allah ilhamkan ilmu-ilmu yang bermanfaat, yakni ilmu dalam cara menarik orang. ilmu dalam bertindak, ilmu untuk melaksanakan ekonomi Islam, menegakkan kilang-kilang Islam, sekolah Islam, dan lain-lain ilmu praktikal untuk mewujudkan Islam dalam setiap aspek kehidupan. Ilmu begini telah Allah kurniakan pada umat Islam zaman dulu terutamanya di zaman para sahabat dan para salafus soleh. Sebab itu mereka boleh membangun dan menawan tiga perempat dunia walaupun kelulusan mereka tidak diiktiraf oleh mana-mana universiti. Bangunan yang dibina oleh umat Islam, misalnya istana Al Hambra di Sepanyol, tahan kukuh hingga kini, 700 tahun sudah, sedangkan binaan orang sekarang baru 20 tahun sudah roboh. Itulah ilmu ilham yang diberi kepada orang soleh. Ilmu yang datang langsung dari Allah, berdasarkan firman-Nya:

Terjemahan: Bertaqwalah nescaya Allah akan mengajar kamumu 
(Al Baqarah: 282)

Begitu’ juga sistem perairan dalam bangunan-bangunan yang dibina oleh umat Islam 700 tahun dulu. Hingga kini, pakar sains dan teknologi tidak mampu menirunya. Misalnya salah satu paip air dalam istana Al Hambra, yang boleh mengeluarkan air dengan sendirinya bila masuk waktu sembahyang. Telah pemah diselidik oleh orang Barat untuk mengetahui rahsianya. Hasil penyelidikan itu, paip itu rosak dan mereka tidak boleh memperbaikinya semula, apalagi untuk membina yang baru Itulah ketinggian teknologi orang soleh.


2Ilmu firasat, yakni rasa hati yang tepat hasil dari sifat taqwa. Ini amat perlu supaya pejuang Islam dapat bertindak tepat pada waktu dan ketikanya dalam menghadapi ragam musuh. Ilmu firasat juga penting untuk mendidik ahli-ahli yang berbeza-beza sifat mazmumahnya. Supaya semuanya dapat dididik untuk jadi orang soleh dan bertaqwa.

Itulah firasat namanya, satu rasa hati yang kuat mendesak agar kita buat sesuatu yang kadangkala di luar logik fikiran manusia. Ilmu inilah yang telah menguatkan perjuangan Islam, umat Islam dulu. Mereka boleh serang musuh dengan cara yang membingungkan musuh. Tindakan mereka seolah-olah mereka tahu rancangan musuh. Sebab itu musuh tidak boleh buat apa-apa dengan mereka. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan sabdanya:

Terjemahan: Takutilah firasat orang mukmin kerana mereka melihat dari cahaya Allah. (Riwayat Tarmizi)

Tapi hari ini pejuang Islam ketawa kalau kita cakap tentang hal-hal begini. Karut kata mereka. Tidak logik. Tidak rasional. Dan lain-lain lagi. Kerana itulah perjuangan mereka macam keretapi rosak enjinnya. Bunyinya kuat tetapi tidak bergerak-gerak. Akibat menolak soal-soal kerohanian, konon hal-hal kerohanian boleh membuatkan orang jumud dan ketinggalan zaman. Tetapi nampaknya tanpa kerohanianlah menyebabkan perjuangan mereka lebih ketinggalan zaman. Di waktu kebangkitan Islam kian memuncak, jemaah Islam ada yang makin malap dan kian dilupakan orang. Kalau begitu, bukankah lebih baik iktiraf hal-hal kejiwaan dan kerohanian ini.
Pembentukan peribadi melalui perubahan hati yang menitik beratkan IMAN & TAQWA adalah jalan utama kearah menegakkan Daulah Islamiah

Betulkan fahaman kita konon kalau takut-takutkan orang dengan dosa, dengan neraka, nanti orang akan tinggal kemajuan dunia. Orang tidak membangun dan tidak membina kemajuan dan tamadun. Sebab itu jangan tonjol-tonjolkan sangat menyebut takutkan Allah, akhirat, syurga, neraka dan lain-lain hal ghaib yang berunsur kerohanian. Ceramah, mesyuarat, rapat umum, tulisan, kertas kerja dan tindakan kita hanya sebut Islam tetapi jarang dikaitkan dengan Allah, iman. taqwa, syurga, neraka, akhirat, mati, kubur, hari hisab dan lain-lain lagi. Ini yang berlaku pada jemaah Islam rata-rata di dunia hari ini.

Umat Islam dan pejuang Islam sendiri rasa tidak yakin dan tidak ghairah dengan Allah, dengan Rasulullah, dengan malaikat, dengan rijalullah, rijalulghaib, dengan mati, kubur, hari kiamat, syurga, neraka. Pada pendapat mereka, kalau disebut-sebutkan sangat hal itu orang akan lari sebab perkara itu ketinggalan zaman.

Soal cinta Allah, rindukan Allah, malu pada Allah, takutkan Allah, tawakal, redha, sabar, syukur dan hina diri pada Allah sangat jauh dari perbincangan mereka apalagi untuk dijadikan amalan rohani mereka.

Tidak ada satu muktamar pun, khas untuk fikir dosa dan kelemahan hubungan hati dengan Allah. Mereka hanya hendak ambil kaedah-kaedah yang ada untuk selesaikan masalah dunia kini. Tetapi tidak mahu ambil Allah, Rasulullah dan hal-hal ghaib semuanya sebagai kecintaan dan matlamat hidup mereka. Inilah akibat orang yang berfikiran sekular pada pemimpin perjuangan Islam.

Walaupun dia seorang ulama, tapi fikirannya sekular. Islam itu ditafsirkan secara sekular maka terjadilah pemisahan antara hukum Islam yang lahir dengan soal-soal Islam yang ghaib. Mereka ambil yang logik pada mereka dan mengenepikan soal-soal yang tidak terjangkau oleh logik akal. Kerana itu jadilah Islam itu seolah-olah tiada kaitan dengan Allah, sebaliknya ia seolah-olah dijadikan satu ideologi, sesuatu yang dicipta oleh otak manusia.

Ia mungkin tidak bercanggah dengan Islam, tetapi oleh kerana perjuangan itu bukan dibuat atas dasar kerana perintah Allah, atas dasar iman, atas dasar keyakinan kepada perkara-perkara ghaib maka semua itu tidaklah jadi ibadah. Yakni tiada ganjaran pahala di akhirat nanti. Di samping itu, bila amalan atau perjuangan itu tidak dikaitkan dengan Allah, maka manusia tidak dapat menolak rasa ujub dan riak. Bila rasa ini sudah bersarang di hati kita, akibamya kita terdorong mengata-ngata orang dan menyalahkan orang lain kerana merasa diri bersih dan sudah baik. Bila ini sudah jadi tabiat dan perangai kita, bukan Allah saja yang benci, nanti kita akan dapati orang lari dan tinggallah kita seorang diri. Kalaupun ahli jemaah tidak lari, bukan kerana sukakan kita tapi cuma suka lihat dan dengar bagaimana kita pukul musuh atau memang hobinya suka mengata musuh.

Islam mesti dimulakan dengan iman dan taqwa. Itulah cara Allah mendidik manusia melalui Al Quran, sebelum dan sesudah menyatakan sesuatu hukum atau peraturan mesti Allah menyebut soal-soal iman dan taqwa ini. Yakni takutkan Allah, azab neraka, syurga dan lain-lain lagi. Lihat beberapa contoh:

Terjemahan: Wahai orang beriman, hendaklah kamu takutkan Allah dengan sebenar-benar takut dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Ali Imran : 102)

Terjemahan: Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu takutkan Allah dan katakanlah dengan perkataan yang tegas, nescaya Allah akan membaiki kerja-kerja kamu dan ampunkan dosa kamu. Barangsiapa takutkan Allah dan Rasul, maka sesungguhnya dia mendapat kemenangan yang besar. (Al Ahzab : 71)

Terjemahan: Dan takutlah kamu akan suatu hari di waktu yang mana seseorang tidak dapat membela seseorang yang lain sedikit pun dan begitu juga tidak akan diterima suatu syafaat dan tebusan daripadanya dan tidaklah mereka akan ditolong. (Al Baqarah :48)

Lihatlah di dalam khutbah Jumaat. Tidak sah khutbah itu jika tidak menyebut perkataan “ittakullah” (takutlah Allah) Ini disebabkan menyebut “ittakullah” (takutlah Allah)  adalah rukun khutbah. Begitulah pentingnya peringatan itu, agar manusia takutkan Allah sebagai pendorong untuk melaksanakan hukum-hakam Allah.

Demikianlah taqwa itu jadi syarat terpenting dalam menegakkan hukum Allah. Sebab itu Rasulullah SAW sebelum berperang selalu ingatkan tentera supaya yakin dengan Allah dan takutkan dosa. Jadi kalau kita hendak berjuang atas nama Islam, kita mestilah terima syarat ini dan melaksanakannya. Barulah betul, kita buat kerja Allah dan terhindar dari sikap memandai-mandai. Tetapi kalau kita perjuangkan Islam, dengan cara yang difikirkan oleh otak kita, ertinya kita berjuang kerana kita, bagi pihak kita, bukan kerana Allah dan bagi pihak Allah. Kalau ini berlaku, tidak ada apa lagi keistimewaan pada perjuangan itu kerana ia tandus dengan satu tenaga yang luar biasa yakni bantuan Allah. Bila Allah tidak bantu, dalam keadaan ekonomi meleset ini pula, ilmu dan sisitem hidup pun masih diceduk dari Yahudi / Nasrani. Tidak peliklah kalau nasib kita kini bagaikan ayam mati kelaparan di kepuk padi dan itik mati kehausan di dalam air. Malang seribu kali malang!

CIRI - CIRI PEJUANG ISLAM

TUJUAN PERJUANGAN ISLAM

Saya Cuma sampaikan yang Haq, kalau ada yang bathil kepunyaan saya, isteri saya dan anak-anak saya, maka saya ambil semula dulu kini dan selamanya

No comments:

Post a Comment