PEDANG SAYIDINA MU’ADZ IBN JABAL RA.
INFO
. Seorang tokoh daripada
kalangan Ansar yang turut berbaiah pada Perjanjian Aqabah 2, hingga termasuk
as-Sabiqun al-Awwalun (golongan yang pertama masuk Islam).
. Kelebihan dan
keistimewaan beliau ialah kefahaman dan keahlian dalam soal hukum. Keahlian
beliau dalam bidang fiqh dan ilmu pengetahuan telah menerima pujian daripada
Rasulullah SAW melalui sabdanya, “Umatku yang paling tahu persoalan yang halal
dan haram ialah Mu’adz Ibn Jabal.”
. Memiliki kecerdasan otak
dan keberanian yang hampir sama dengan Umar Ibn al-Khattab.
Contohnya, ketika
Rasulullah SAW hendak mengutusnya ke Yaman, Baginda bertanya kepada Mu’adz RA,
“Apakah yang menjadi pedomanmu dalam mengadili sesuatu, wahai Mu’adz?” Jawab
Mu’adz, “Kitab Allah”. Baginda bertanya lagi, “Bagaimana jika kamu tidak
menemukannya di dalam Kitab Allah?” Jawab Mu’adz, “Saya akan memutuskannya
dengan Sunnah Rasul.” Baginda bertanya lagi, “Jika kamu tidak menemukannya di
dalam Sunnah Rasulullah?” Jawab Mu’adz lagi, “Saya menggunakan fikiran saya
untuk berijtihad dan saya tidak akan lakukan dengan sia-sia.”
Maka berseri-serilah
wajah Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah
memberikan taufik kepada utusan Rasulullah sebagaimana yang diredhai Rasulullah
SAW.”
. Memiliki otak yang
terlatih dengan baik dan logic yang hebat yang mengalir dengan tenang dan
cermat. Di mana-mana saja kita menjumpai namanya di celah-celah riwayat dan
sejarah, kita akan mendapati beliau adalah orang yang selalu menjadi tumpuan.
Di mana-mana jua beliau duduk, orang ramai mengelilinginya.
. Seorang yang pendiam.
Tidak akan berbicara kecuali atas permintaan para hadirin. Jika mereka berbeza
pendapat dalam sesuatu hal, mereka menyerahkan perkara itu kepada Mu’adz untuk
memutuskannya. Jika beliau membuka suara, sebagaimana yang digambarkan oleh
salah seorang yang mengenalinya, “Seolah-olah dari mulutnya keluar cahaya dan
mutiara.”
. Seorang yang suka
memberi, kaya hati dan tinggi budi pekerti. Tidak ada suatu pun yang diminta
kecuali akan diberinya secara berlimpah dan dengan hati yang ikhlas. Ternyata
kemurahan Mu’adz RA adalah dengan menghabiskan semua harta miliknya.
PERISTIWA BERSEJARAH MU’ADZ IBN JABAL RA.
A’idzullah bin Abdillah
memerihalkan sebuah kisah yang terjadi di awal pemerintahan Khalifah Umar RA.
Beliau memasuki masjid bersama dengan beberapa orang sahabat, lalu beliau
menceritakan:
“Aku duduk di suatu majlis yang dihadiri
lebih daripada 30 orang, masing-masing menyebutkan sebuah hadis yang mereka
terima daripada Rasulullah SAW. Dalam majlis itu, ada seorang anak muda yang
sangat tampan, hitam manis warna kulitnya, bersih, lembut tutur katanya dan
usianya yang paling muda di antara mereka. Jika mereka ragu-ragu tentang suatu
hadis, mereka menanyakannya kepada anak muda itu dan beliau pun segera
memberikan fatwanya. Beliau tidak pernah berbicara kecuali apabila diminta.
Apabila majlis itu berakhir, aku mendekati anak muda itu dan bertanyakan
namanya. Beliau menjawab, “Saya adalah Mu’adz Ibn Jabal.”
Abu Muslim al-Khaulani berkata, “Saya
masuk ke Masjid Hamah dan di dalamnya saya dapati beberapa orang tua sedang
duduk. Di tengah-tengah mereka ada seorang anak muda yang berkilau giginya.
Anak muda itu diam tidak bersuara. Tetapi apabila mereka merasa ragu tentang
sesuatu masalah, mereka menoleh dan bertanya kepadanya. Saya pun bertanya
kepada teman karib saya, “Siapa orang itu?” Lalu ia menjawab, “Itulah Mu’adz
Ibn Jabal.” Dalam diriku timbul perasaan suka dan sayang kepadanya.”
Shahar bin Hausyab tidak ketinggalan
memberikan ulasan, ia menceritakan, “Apabila para sahabat berbicara dan di
antara mereka hadir Mu’adz ibn Jabal RA, mereka pasti meminta pendapatnya
kerana kewibawaannya.”
Amirul Mukminin Umar RA sendiri
seringkali meminta pendapat dan buah fikiran daripada Mu’adz RA. Bahkan, dalam
salah satu peristiwa, beliau memanfaatkan pendapat dan keahlian Mu’adz RA dalam
bab hukum. Umar RA pernah berkata, “Kalau bukan kerana Mu’adz Ibn Jabal, Umar
pasti celaka!”
Ketika Rasulullah SAW wafat, Mu’adz RA
masih berada di Yaman, iaitu sejak beliau diutuskan Nabi SAW ke sana untuk
membimbing kaum Muslimin dan mengajari mereka tentang selok-belok agama islam.
Pada masa pemerintahan Abu Bakar RA,
Mu’adz RA kembali dari Yaman. Umar tahu bahawa Mu’adz RA telah menjadi seorang
yang kaya-kaya, maka Umar mengusulkan kepada khalifah agar kekayaannya itu
dibahagikan kepada dua bahagian. Tanpa menunggu jawapan daripada Abu Bakar,
Umar segera pergi ke rumah Mu’adz RA dan mengemukakan masalah tersebut.
Mu’adz RA adalah seorang yang bersih dan
suci hati. Seandainya sekarang beliau telah menjadi kaya-raya, maka kekayaan
itu diperolehnya secara halal dan tidak pernah diperolehnya dengan cara haram.
Beliau juga tidak mahu menerima barang yang syubhah. Oleh itu, usul Umar RA
ditolak oleh Mu’adz RA. Alasan yang diungkapkan Umar mampu dipatahkannya.
Akhirnya, Umar berpaling dan meninggalkannya.
Pada keesokan harinya, Mu’adz RA segera
pergi ke rumah Umar. Setibanya di sana, Mu’adz RA terus memeluk Umar, diiringi
air mata mengalir mendahului bicaranya. Beliau berkata, “Malam tadi, saya
bermimpi memasuki kolam yang penuh dengan air, hingga membuatkan saya lemas
tenggelam. Untunglah kamu datang, dan menyelamatkan saya, wahai Umar!”
Kemudian, mereka bersama-sama pergi
menemui Abu Bakar, lalu Mu’adz memohon kepada khalifah untuk mengambil seperdua
daripada hartanya. Namun, Abu Bakar menjawab, “Aku tidak akan mengambil apa-apa
pun daripadamu.”
“Sekarang harta itu telah halal dan
menjadi harta yang baik,” kata Umar kepada Mu’adz.
Seandai Umar mengetahui bahawa Mu’adz RA
memperoleh harta itu dari jalan yang tidak baik, tentu tidak ada satu dirham
pun Abu Bakar akan meninggalkan kepadanya. Namun, Umar tidak pula berbuat salah
dengan melemparkan kecurigaan atau menaruh syak wasangka terhadap Mu’adz RA.
Mu’adz RA berpindah ke Syria, dan
tinggal bersama penduduk setempat untuk menjadi guru dan ahli hukum. Apabil Abu
Ubaidah iaitu ketua di sana sekaligus sahabat karib Mu’adz RA meninggal dunia.
Mu’adz diangkat oleh Amirul Mukminin
Umar sebagai peggantinya di Syria. Tetapi, baru beberapa bulan sahaja
beliau memegang jawatan itu, beliau dipanggil oleh Allah untuk mengadap-Nya
dalam keadaaan tunduk dan menyerahkan diri.
Umar berkata, “Sekiranya saya mengangkat
Mu’adz sebagai pegganti, lalu ditanya oleh Allah , mengapakah saya
mengangkatnya? Saya akan menjawab, ‘Saya mendengar Nabi-Mu bersabda, ‘Apabila
ulama menghadap Allah, Mu’adz pasti berada di antara mereka’”. Yang dimaksudkan
Umar ialah penggantinya sebagai khalifah bagi seluruh kaum Muslimin, bukan
kepala atau ketua bagi suatu negeri atau wilayah.
Sebelum menghembuskan nafasnya yang
terakhir, Umar pernah ditanya orang, “Bagaimana jika kamu tetapkan pengganti
kamu? Maksudnya, kamu pilih sendiri orang yang akan menjadi khalifah, lalu kami
berbaiah dan menyetujuinya.”
Umar pun menjawab, “seandainya Mu’adz
Ibn Jabal masih hidup, tentu saya angkat beliau sebagai khalifah. Apabila saya
mengadap Allah SWT dan ditanya tentang pelantikannya, siapakah yang kamu angkat
menjadi pemimpin bagi umat manusia? Saya akan menjawab, ‘Saya mengangkat Mu’adz
Ibn Jabal setelah mendengar Nabi SAW bersabda: Mu’adz Ibn Jabal adalah pemimpin
golongan ulama pada hari kiamat.’”
Suatu hari, Rasulullah SAW bersabda,
“wahai Mu’adz! Demi Allah, saya sungguh sayang kepadamu. Jangan lupa setiap
kali selepas solat, ucapkanlah, ‘Ya Allah, bantulah diriku untuk selalu ingat
dan syukur serta beribadah dengan ikhlas kepada-Mu.”
Doa yang tepat sekali ialah, “Ya Allah,
bantulah diriku.” Rasulullah SAW selalu mendesak manusia untuk memahami makna
yang agung ini iaitu bahawa tiada daya mahupun upaya, dan tiada bantuan mahupun
pertolongan kecuali dengan pertolongan dan kekuatan daripada Allah Yang Maha
Tinggi lagi Maha Besar. Mu’adz RA mengetahui dan memahami ajaran ini dan telah
menerapkannya secara tepat.
Pada suatu pagi, Rasulullah SAW bertemu
dengan Mu’adz RA, dan bertanya kepadanya, “Bagaimanakah keadaanmu pagi ini,
wahai Mu’adz?”
“Saya menghadapi pagi ini sebagai
orang beriman, wahai Rasulullah!”
“Setiap kebenaran ada hakikatnya, lantas
apakah hakikat keimananmu?”
“Setiap yang berada di pagi hari, saya
menyangka tidak akan menemuinya lagi pada waktu petang. Setiap yang berada pada
waktu petang, saya menyangka tidak akan mencapai waktu pagi lagi. Tiada satu
langkah pun yang saya langkah kecuali saya menyangka tidak ada lagi langkah
lainnya. Seolah-olah kesaksian setiap umat jatuh melutut dan dipanggil untuk melihat
buku catatannya. Saya seolah-olah menyaksikan penghuni syurga menikmati
kesenangan syurga, sedangkan penduduk neraka menderita seksa di dalamnya.”
Rasulullah SAW pun bersabda, “Kamu memang
mengetahuinya, oleh itu peganglah kuat-kuat dan jangan kamu lepaskan.”
Ternyata benar bahawa Mu’adz RA telah
menyerahkan seluruh jiwa raga dan nasibnya kepada Allah SWT, hingga tidak ada
satu pun yang dilihat olehnya kecuali hanya Dia.
Tepat sekali gambaran yang diberikan
Ibnu Mas’ud tentang keperibadiannya, Mu’adz adalah seorang hamba yang tunduk
kepada Allah SWT dan berpegang teguh kepada agama-Nya. Kami menganggap bahawa
Mu’adz serupa dengan Nabi Ibrahim AS. Mu’adz RA sentiasa menyeru manusia untuk
mencapai ilmu dan berzikir kepada Allah SWT. Beliau pun menyeru mereka agar
mencari ilmu yang benar lagi bermanfaat. Beliau berkata, ‘Berwaspadalah
terhadap kegelinciran orang yang berilmu! Kenalilah kebenaran itu dengan
kebenaran pula. Ini kerana kebenaran mempunyai cahaya’.”
Menurut Mu’adz RA, ibadah itu hendaklah
dilakukan dengan cermat dan jangan berlebihan. Suatu hari, salah seorang Muslim
meminta Mu’adz RA mengajarnya. “Apakah kamu bersedia untuk mematuhi apa yang
saya ajarkan nanti?” tanya Mu’adz. “Sungguh, saya sangat berharap akan mentaati
kamu!” ujar orang itu.
Mu’adz berkata kepadanya, “Berpuasalah,
namun jangan lupa untuk berbuka. Dirikanlah solat dan tidurlah. Berusahalah
mencari nafkah dan janganlah berbuat dosa. Janganlah kamu mati kecuali dalam
beragama Islam serta jauhilah doa daripada orang yang teraniaya.”
Menurut Mu’adz RA, ilmu itu ialah
mengenal dan beramal. Beliau berkata lagi, “Pelajarilah segala ilmu yang kalian
minati, tetapi Allah SWT tidak akan memberi kalian manfaat dengan ilmu itu
sebelum kalian mengamalkannya terlebih dahulu.”
Mu’adz berkata, iman dan zikir kepada
Allah SWT ialah sentiasa ebrsiap sedia demi kebesaran-Nya dan pengawasan yang
tidak putus-putus terhadap kegiatan jiwa. Al-Aswad bin Hilal berkata, “Kami
berjalan bersama Mu’adz RA, lalu beliau berkata kepada kami, ‘Marilah kita
duduk sebentar untuk renungkan keimanan.”
Mungkin sikap dan pendirian Mu’adz RA
itu terdorong oleh semangat jiwa dan fikiran yang tinggi sesuai dengan
penderiannya yang pernah beliau kemukanan kepada Rasulullah SAW bahawa tiada
satu langkah pun yang dilangkahkan kecuali timbul sangkaan bahawa beliau tidak
akan mengikutinya lagi dengan langkah berikutnya.
Hal yang demikian kerana tenggelamnya
dalam mengigati Allah SWT dan kesibukannya dalam meneliti dan memuhasabah
dirinya sendiri.
Pada detik-detik ajal menjemputnya,
Mu’adz RA mengucapkan perkataan yang menyingkapkan dirinya sebagai seorang
Mukmin besar. Dengan pandangan menatap tajam kearah langit. Mu’adz RA
bermunajat kepada Allah Yang Maha Pengasih dengan ungkapan, “Ya Allah,
sesungguhnya selama ini aku takut kepda-Mu. Tetapi hari ini, aku
mengharapkan-Mu. Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa aku tidaklah mencintai
dunia demi untuk menutup hawa di kala panas, dan menghadapi saat-saat getir
serta menambah ilmu pengetahuan, keimanan dan ketaatan.”
Lalu beliau mengehulurkan tangannya
seolah-olah hendak bersalaman dengan maut, dan dalam keberangkatannya ke alam
ghaib, beliau masih sempat berkata, “Selamat datang, wahai maut! Kekasih tiba
disaat diperlukan.”
TAHUKAH ANDA?
. Mu’adz Ibn Jabal RA
dikenali sebagai seorang sahabat Nabi SAW yang paling tahu mana yang halal dan
mana yang haram. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Umatku
yang paling tahu persoalan yang halal dan haram ialah Mu’adz Ibn Jabal.”
PEDANG SAYIDINA MU’ADZ IBN JABAL RA.
. Hulu pedang diperbuat
daripada kayu dan dilapik dengan baldu merah.
. Hulu berbentuk octagon
diperbuat daripada emas.
. Tiga ayat pendek
daripada al-Quran tertulis pada lapan sisi.
. Penyilang pada hulu
pedang, diukir dengan tulisan, “Tiada Tuhan Selain Allah dan Muhammad Pesuruh
Allah”.
. Pada alur bilah
tertulis, “Mu’adz ibn Jabal, sahabat Rasulullah.”
. Bawah hulu tertulis satu
kalimah untuk nasib dan keselamatan sebanyak 22 kali.
. Sarung pedang diperbuat
daripada kayu dan dilapik dengan baldu merah.
. Panjang berukuran 97 sm.
. Hulu pedang dilapik
dengan kulit hitam.
. Hulu pedang terdapat dua
plat perak yang bertulis, “Pedang ini adalah milik sahabat terhormat, Mu’adz
Ibn Jabal”.
. Pedang ini diambil
daripada Perbendaharaan Diraja.
. Penyilang pada hulu
pedang diperbuat daripada keluli.
. Bilah pedang rata dan
bujur di hujungnya.
. Sarung pedang diperbuat
daripada kayu dan dilapik dengan kulit hitam.