Friday 2 September 2016

PEDANG SAYIDINA MU'ADZ IBN JABAL



PEDANG SAYIDINA MU’ADZ IBN JABAL RA.


INFO

Seorang tokoh daripada kalangan Ansar yang turut berbaiah pada Perjanjian Aqabah 2, hingga termasuk as-Sabiqun al-Awwalun (golongan yang pertama masuk Islam).
Kelebihan dan keistimewaan beliau ialah kefahaman dan keahlian dalam soal hukum. Keahlian beliau dalam bidang fiqh dan ilmu pengetahuan telah menerima pujian daripada Rasulullah SAW melalui sabdanya, “Umatku yang paling tahu persoalan yang halal dan haram ialah Mu’adz Ibn Jabal.”
Memiliki kecerdasan otak dan keberanian yang hampir sama dengan Umar Ibn al-Khattab.

    Contohnya, ketika Rasulullah SAW hendak mengutusnya ke Yaman, Baginda bertanya kepada Mu’adz RA, “Apakah yang menjadi pedomanmu dalam mengadili sesuatu, wahai Mu’adz?” Jawab Mu’adz, “Kitab Allah”. Baginda bertanya lagi, “Bagaimana jika kamu tidak menemukannya di dalam Kitab Allah?” Jawab Mu’adz, “Saya akan memutuskannya dengan Sunnah Rasul.” Baginda bertanya lagi, “Jika kamu tidak menemukannya di dalam Sunnah Rasulullah?” Jawab Mu’adz lagi, “Saya menggunakan fikiran saya untuk berijtihad dan saya tidak akan lakukan dengan sia-sia.”

     Maka berseri-serilah wajah Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufik kepada utusan Rasulullah sebagaimana yang diredhai Rasulullah SAW.”

Memiliki otak yang terlatih dengan baik dan logic yang hebat yang mengalir dengan tenang dan cermat. Di mana-mana saja kita menjumpai namanya di celah-celah riwayat dan sejarah, kita akan mendapati beliau adalah orang yang selalu menjadi tumpuan. Di mana-mana jua beliau duduk, orang ramai mengelilinginya.
Seorang yang pendiam. Tidak akan berbicara kecuali atas permintaan para hadirin. Jika mereka berbeza pendapat dalam sesuatu hal, mereka menyerahkan perkara itu kepada Mu’adz untuk memutuskannya. Jika beliau membuka suara, sebagaimana yang digambarkan oleh salah seorang yang mengenalinya, “Seolah-olah dari mulutnya keluar cahaya dan mutiara.”
Seorang yang suka memberi, kaya hati dan tinggi budi pekerti. Tidak ada suatu pun yang diminta kecuali akan diberinya secara berlimpah dan dengan hati yang ikhlas. Ternyata kemurahan Mu’adz RA adalah dengan menghabiskan semua harta miliknya.


PERISTIWA BERSEJARAH MU’ADZ IBN JABAL RA.


A’idzullah bin Abdillah memerihalkan sebuah kisah yang terjadi di awal pemerintahan Khalifah Umar RA. Beliau memasuki masjid bersama dengan beberapa orang sahabat, lalu beliau menceritakan:

    “Aku duduk di suatu majlis yang dihadiri lebih daripada 30 orang, masing-masing menyebutkan sebuah hadis yang mereka terima daripada Rasulullah SAW. Dalam majlis itu, ada seorang anak muda yang sangat tampan, hitam manis warna kulitnya, bersih, lembut tutur katanya dan usianya yang paling muda di antara mereka. Jika mereka ragu-ragu tentang suatu hadis, mereka menanyakannya kepada anak muda itu dan beliau pun segera memberikan fatwanya. Beliau tidak pernah berbicara kecuali apabila diminta. Apabila majlis itu berakhir, aku mendekati anak muda itu dan bertanyakan namanya. Beliau menjawab, “Saya adalah Mu’adz Ibn Jabal.”

     Abu Muslim al-Khaulani berkata, “Saya masuk ke Masjid Hamah dan di dalamnya saya dapati beberapa orang tua sedang duduk. Di tengah-tengah mereka ada seorang anak muda yang berkilau giginya. Anak muda itu diam tidak bersuara. Tetapi apabila mereka merasa ragu tentang sesuatu masalah, mereka menoleh dan bertanya kepadanya. Saya pun bertanya kepada teman karib saya, “Siapa orang itu?” Lalu ia menjawab, “Itulah Mu’adz Ibn Jabal.” Dalam diriku timbul perasaan suka dan sayang kepadanya.”

     Shahar bin Hausyab tidak ketinggalan memberikan ulasan, ia menceritakan, “Apabila para sahabat berbicara dan di antara mereka hadir Mu’adz ibn Jabal RA, mereka pasti meminta pendapatnya kerana kewibawaannya.”

      Amirul Mukminin Umar RA sendiri seringkali meminta pendapat dan buah fikiran daripada Mu’adz RA. Bahkan, dalam salah satu peristiwa, beliau memanfaatkan pendapat dan keahlian Mu’adz RA dalam bab hukum. Umar RA pernah berkata, “Kalau bukan kerana Mu’adz Ibn Jabal, Umar pasti celaka!”

      Ketika Rasulullah SAW wafat, Mu’adz RA masih berada di Yaman, iaitu sejak beliau diutuskan Nabi SAW ke sana untuk membimbing kaum Muslimin dan mengajari mereka tentang selok-belok agama islam.

      Pada masa pemerintahan Abu Bakar RA, Mu’adz RA kembali dari Yaman. Umar tahu bahawa Mu’adz RA telah menjadi seorang yang kaya-kaya, maka Umar mengusulkan kepada khalifah agar kekayaannya itu dibahagikan kepada dua bahagian. Tanpa menunggu jawapan daripada Abu Bakar, Umar segera pergi ke rumah Mu’adz RA dan mengemukakan masalah tersebut.

      Mu’adz RA adalah seorang yang bersih dan suci hati. Seandainya sekarang beliau telah menjadi kaya-raya, maka kekayaan itu diperolehnya secara halal dan tidak pernah diperolehnya dengan cara haram. Beliau juga tidak mahu menerima barang yang syubhah. Oleh itu, usul Umar RA ditolak oleh Mu’adz RA. Alasan yang diungkapkan Umar mampu dipatahkannya. Akhirnya, Umar berpaling dan meninggalkannya.

      Pada keesokan harinya, Mu’adz RA segera pergi ke rumah Umar. Setibanya di sana, Mu’adz RA terus memeluk Umar, diiringi air mata mengalir mendahului bicaranya. Beliau berkata, “Malam tadi, saya bermimpi memasuki kolam yang penuh dengan air, hingga membuatkan saya lemas tenggelam. Untunglah kamu datang, dan menyelamatkan saya, wahai Umar!”

       Kemudian, mereka bersama-sama pergi menemui Abu Bakar, lalu Mu’adz memohon kepada khalifah untuk mengambil seperdua daripada hartanya. Namun, Abu Bakar menjawab, “Aku tidak akan mengambil apa-apa pun daripadamu.”

       “Sekarang harta itu telah halal dan menjadi harta yang baik,” kata Umar kepada Mu’adz.

       Seandai Umar mengetahui bahawa Mu’adz RA memperoleh harta itu dari jalan yang tidak baik, tentu tidak ada satu dirham pun Abu Bakar akan meninggalkan kepadanya. Namun, Umar tidak pula berbuat salah dengan melemparkan kecurigaan atau menaruh syak wasangka terhadap Mu’adz RA.

        Mu’adz RA berpindah ke Syria, dan tinggal bersama penduduk setempat untuk menjadi guru dan ahli hukum. Apabil Abu Ubaidah iaitu ketua di sana sekaligus sahabat karib Mu’adz RA meninggal dunia. Mu’adz diangkat oleh Amirul Mukminin  Umar sebagai peggantinya di Syria. Tetapi, baru beberapa bulan sahaja beliau memegang jawatan itu, beliau dipanggil oleh Allah untuk mengadap-Nya dalam keadaaan tunduk dan menyerahkan diri.

       Umar berkata, “Sekiranya saya mengangkat Mu’adz sebagai pegganti, lalu ditanya oleh Allah , mengapakah saya mengangkatnya? Saya akan menjawab, ‘Saya mendengar Nabi-Mu bersabda, ‘Apabila ulama menghadap Allah, Mu’adz pasti berada di antara mereka’”. Yang dimaksudkan Umar ialah penggantinya sebagai khalifah bagi seluruh kaum Muslimin, bukan kepala atau ketua bagi suatu negeri atau wilayah.

       Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Umar pernah ditanya orang, “Bagaimana jika kamu tetapkan pengganti kamu? Maksudnya, kamu pilih sendiri orang yang akan menjadi khalifah, lalu kami berbaiah dan menyetujuinya.”

        Umar pun menjawab, “seandainya Mu’adz Ibn Jabal masih hidup, tentu saya angkat beliau sebagai khalifah. Apabila saya mengadap Allah SWT dan ditanya tentang pelantikannya, siapakah yang kamu angkat menjadi pemimpin bagi umat manusia? Saya akan menjawab, ‘Saya mengangkat Mu’adz Ibn Jabal setelah mendengar Nabi SAW bersabda: Mu’adz Ibn Jabal adalah pemimpin golongan ulama pada hari kiamat.’”


      Suatu hari, Rasulullah SAW bersabda, “wahai Mu’adz! Demi Allah, saya sungguh sayang kepadamu. Jangan lupa setiap kali selepas solat, ucapkanlah, ‘Ya Allah, bantulah diriku untuk selalu ingat dan syukur serta beribadah dengan ikhlas kepada-Mu.”

      Doa yang tepat sekali ialah, “Ya Allah, bantulah diriku.” Rasulullah SAW selalu mendesak manusia untuk memahami makna yang agung ini iaitu bahawa tiada daya mahupun upaya, dan tiada bantuan mahupun pertolongan kecuali dengan pertolongan dan kekuatan daripada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. Mu’adz RA mengetahui dan memahami ajaran ini dan telah menerapkannya secara tepat.

     
       Pada suatu pagi, Rasulullah SAW bertemu dengan Mu’adz RA, dan bertanya kepadanya, “Bagaimanakah keadaanmu pagi ini, wahai Mu’adz?”

          “Saya menghadapi pagi ini sebagai orang beriman, wahai Rasulullah!”


      “Setiap kebenaran ada hakikatnya, lantas apakah hakikat keimananmu?”

      “Setiap yang berada di pagi hari, saya menyangka tidak akan menemuinya lagi pada waktu petang. Setiap yang berada pada waktu petang, saya menyangka tidak akan mencapai waktu pagi lagi. Tiada satu langkah pun yang saya langkah kecuali saya menyangka tidak ada lagi langkah lainnya. Seolah-olah kesaksian setiap umat jatuh melutut dan dipanggil untuk melihat buku catatannya. Saya seolah-olah menyaksikan penghuni syurga menikmati kesenangan syurga, sedangkan penduduk neraka menderita seksa di dalamnya.”
      Rasulullah SAW pun bersabda, “Kamu memang mengetahuinya, oleh itu peganglah kuat-kuat dan jangan kamu lepaskan.”

      Ternyata benar bahawa Mu’adz RA telah menyerahkan seluruh jiwa raga dan nasibnya kepada Allah SWT, hingga tidak ada satu pun yang dilihat olehnya kecuali hanya Dia.

       Tepat sekali gambaran yang diberikan Ibnu Mas’ud tentang keperibadiannya, Mu’adz adalah seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT dan berpegang teguh kepada agama-Nya. Kami menganggap bahawa Mu’adz serupa dengan Nabi Ibrahim AS. Mu’adz RA sentiasa menyeru manusia untuk mencapai ilmu dan berzikir kepada Allah SWT. Beliau pun menyeru mereka agar mencari ilmu yang benar lagi bermanfaat. Beliau berkata, ‘Berwaspadalah terhadap kegelinciran orang yang berilmu! Kenalilah kebenaran itu dengan kebenaran pula. Ini kerana kebenaran mempunyai cahaya’.”

        Menurut Mu’adz RA, ibadah itu hendaklah dilakukan dengan cermat dan jangan berlebihan. Suatu hari, salah seorang Muslim meminta Mu’adz RA mengajarnya. “Apakah kamu bersedia untuk mematuhi apa yang saya ajarkan nanti?” tanya Mu’adz. “Sungguh, saya sangat berharap akan mentaati kamu!” ujar orang itu.

        Mu’adz berkata kepadanya, “Berpuasalah, namun jangan lupa untuk berbuka. Dirikanlah solat dan tidurlah. Berusahalah mencari nafkah dan janganlah berbuat dosa. Janganlah kamu mati kecuali dalam beragama Islam serta jauhilah doa daripada orang yang teraniaya.”

       Menurut Mu’adz RA, ilmu itu ialah mengenal dan beramal. Beliau berkata lagi, “Pelajarilah segala ilmu yang kalian minati, tetapi Allah SWT tidak akan memberi kalian manfaat dengan ilmu itu sebelum kalian mengamalkannya terlebih dahulu.”

       Mu’adz berkata, iman dan zikir kepada Allah SWT ialah sentiasa ebrsiap sedia demi kebesaran-Nya dan pengawasan yang tidak putus-putus terhadap kegiatan jiwa. Al-Aswad bin Hilal berkata, “Kami berjalan bersama Mu’adz RA, lalu beliau berkata kepada kami, ‘Marilah kita duduk sebentar untuk renungkan keimanan.”

       Mungkin sikap dan pendirian Mu’adz RA itu terdorong oleh semangat jiwa dan fikiran yang tinggi sesuai dengan penderiannya yang pernah beliau kemukanan kepada Rasulullah SAW bahawa tiada satu langkah pun yang dilangkahkan kecuali timbul sangkaan bahawa beliau tidak akan mengikutinya lagi dengan langkah berikutnya.

       Hal yang demikian kerana tenggelamnya dalam mengigati Allah SWT dan kesibukannya dalam meneliti dan memuhasabah dirinya sendiri.
       Pada detik-detik ajal menjemputnya, Mu’adz RA mengucapkan perkataan yang menyingkapkan dirinya sebagai seorang Mukmin besar. Dengan pandangan menatap tajam kearah langit. Mu’adz RA bermunajat kepada Allah Yang Maha Pengasih dengan ungkapan, “Ya Allah, sesungguhnya selama ini aku takut kepda-Mu. Tetapi hari ini, aku mengharapkan-Mu. Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa aku tidaklah mencintai dunia demi untuk menutup hawa di kala panas, dan menghadapi saat-saat getir serta menambah ilmu pengetahuan, keimanan dan ketaatan.”

       Lalu beliau mengehulurkan tangannya seolah-olah hendak bersalaman dengan maut, dan dalam keberangkatannya ke alam ghaib, beliau masih sempat berkata, “Selamat datang, wahai maut! Kekasih tiba disaat diperlukan.”


TAHUKAH ANDA?

.   Mu’adz Ibn Jabal RA dikenali sebagai seorang sahabat Nabi SAW yang paling tahu mana yang halal dan mana yang haram. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Umatku yang paling tahu persoalan yang halal dan haram ialah Mu’adz Ibn Jabal.”



PEDANG SAYIDINA MU’ADZ IBN JABAL RA.


Hulu pedang diperbuat daripada kayu dan dilapik dengan baldu merah.
Hulu berbentuk octagon diperbuat daripada emas.
Tiga ayat pendek daripada al-Quran tertulis pada lapan sisi.
Penyilang pada hulu pedang, diukir dengan tulisan, “Tiada Tuhan Selain Allah dan Muhammad Pesuruh Allah”.
Pada alur bilah tertulis, “Mu’adz ibn Jabal, sahabat Rasulullah.”
Bawah hulu tertulis satu kalimah untuk nasib dan keselamatan sebanyak 22 kali.
Sarung pedang diperbuat daripada kayu dan dilapik dengan baldu merah.
Panjang berukuran 97 sm.
Hulu pedang dilapik dengan kulit hitam.
Hulu pedang terdapat dua plat perak yang bertulis, “Pedang ini adalah milik sahabat terhormat, Mu’adz Ibn Jabal”.
Pedang ini diambil daripada Perbendaharaan Diraja.
Penyilang pada hulu pedang diperbuat daripada keluli.
Bilah pedang rata dan bujur di hujungnya.

Sarung pedang diperbuat daripada kayu dan dilapik dengan kulit hitam.

No comments:

Post a Comment