Monday, 25 July 2016

PEDANG AL -'ADBU


IMAN & TAQWA ADALAH SENJATA UMAT ISLAM. DAPATKAN EBOOK PERCUMA BERTAJUK:- 3 RAHSIA AKBAR CARA MENDAPATKAN IMAN; RESEPI KEPADA KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT 

Pedang Al-‘Adbu

Pedang al-‘Adbu bermaksud pedang yang tajam. Kemudian, nama pedang ini diberikan kepada salah satu pedang Rasulullah s.a.w. Pedang ini adalah hadiah daripada seorang sahabat, Sayidin Sa’ad Ibn Ubadah al-Ansari r.a. kepada Rasulullah s.a.w. sebelum Baginda berangkat ke Perang Badar.

Pakar sejarah bersepakat menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menggunakan pedang ini dalam Perang Badar di samping mengenakan baju perisainyaZatul Fudhul. Dalam Perang Badar, Rasulullah s.a.w. telah memperoleh Pedang Zul Faqar daripada tentera Muslimin melalui harta rampasan perang ketika menentang tentera Musyrikin.

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. membawa Perang al-‘Adbu dan juga Pedang Zul Faqar untuk menentang kaum Musyrikin dalam Perang Uhud. Kemudian, Baginda memberikan Pedang Zul Faqar kepada Sayidina Ali r.a. untuk menentang pihak musuh pada waktu itu. Pedang ini terus berada di tangan Sayidina Ali r.a. dalam pertempuran menentang tentera Musyrikin sehingga beliau kembali ke Madinah  al-Munawwarah.

Setelah Sayidina Abu Bakar r.a. diangkat menjadi khalifah, beliau pernah berkata, “Segala perlatan perang Rasulullah s.a.w., kasut dan haiwan hendaklah diserahkan kepada Sayidina Ali r.a.

Ketika Sultan Salim I menguasai wilayah Mesir, beliau memerintahkan agar sebahagian daripada senjata dan peninggalan Rasulullah s.a.w. yang sebelumnya berada di Kaherah dipindahkan ke Istanbul, Turki serta ke tempat-tempat penyimpanan peninggalan Baginda yang lain.

Namun begitu, hingga hari ini, masih ada lagi sebahagian kecil peninggalan Rasulullah s.a.w. yang masih tersimpan dan dijaga di Masjid Sayidina Husain r.a. antaranya beberapa helai rambut, potongan baju, alat celak mata dan potongan tongkat Rasulullah s.a.w.

Imam al-Muqrizi menyebutkan bahawa gudang senjata Istana Fatimiah yang terletak di Kota Kaherah menyimpan beberapa pedang, antaranya Pedang Zul Faqar, perisai Sayidina Hamzah r.a. dan pedang Sayidina Husain r.a. Pedang al-‘Adbu pula masih tersimpan dengan baik di Masjid Sayidina Husain r.a., Kaherah, Mesir hingga hari ini.

Tiada bukti yang menyatakan bahawa pedang Sayidina Husain r.a. berada di Istanbul pada hari ini. Hal ini diketahui apabila kajian dibuat dan juga menyoal beberapa orang yang memegang amanah sebagai penjaga barangan Rasulullah s.a.w. di Masjid Sayidina Husain r.a. Namun, akhirnya terbukti bahawa pedang yang berada di Masjid Sayidina Husain r.a. itu adalah Pedang al-‘Adbu yang telah disimpan oleh para imam masjid berkenaan.

Buat pertama kali, Pedang al-‘Adbu diperkenalkan oleh Syeikh Hilmi ‘Arafah di Masjid Sayidina Husain r.a. pada tahun 1972 bersamaan 1392 Hijrah. Beliau mendapat wasiat daripada ayah dan datuknya untuk menjaga pedang warisan itu. Mereka sekeluarga mendapat kepercayaan untuk menjaga barangan peninggalan Rasulullah s.a.w.


Pedang al-‘Adbu yang disimpan di Masjid Sayidina Husain r.a. ini mempunyai ciri dan nilai yang tersendiri. Apabila melihat kepala kedua-dua mata Pedang al-‘Adbu, jelas terdapat bekas asahan dan sedikit bengkok pada bahagian atas pedang ini. Namun begitu, bentuk pedang ini adalah sama dengan pedang-pedang pada zaman awal Islam.


Pintu masuk ke bilik simpanan pedang Al Adbu di Masjid Saidina Hussein R.A.


Kini pedang Al Adbu disimpan didalam Masjid Saidina Hussein R.A. di Kaherah, Mesir


Kajian daripada Ahli Sejarah

Pertama
  
.     Dr. Sa’ad Mahir membuat kesimpulan bahawa pedang Sayidina Husain r.a. yang dikatakan berada di gudang senjata Istana Fatimiah dan didapati hilang daripada koleksi pedang Rasulullah s.a.w. di Istanbul adalah Pedang al’Adbu.

.    Pernyataan Dr. Sa’ad Mahir dalam akhbar al-Ahram, 20 September 1976 bersamaan dengan 26 Ramadhan 1396 Hijrah:


“Berkat rahmat dan taufik Allah S.W.T. yang masih memberikan saya kesempatan untuk hidup sehingga saya dapat menjaga keaslian peninggalan sejarah Nabi Muhammad s.a.w. Kementerian Wakaf telah meminta saya untuk menyimpan segala peninggalan sejarah Nabi s.a.w. yang berada di Makam Sayidina Husain r.a. Saya juga diberi kesempatan untuk mempelajari dan meneliti kembali beberapa peninggalan Nabi s.a.w. yang belum saya ketahui sebelum ini seperti pedang yang berada di Masjid Sayidina Husain r.a. dan yang lainnya.
Hal ini disebabkan kurangnya peralatan canggih yang dapat menentukan ciri-ciri peninggalan sejarah. Bermula dari sebuah lembaga arkeologi yang bersedia untuk membantu saya menjalankan penyelidikan dalam memastikan ciri-ciri Pedang al-‘Adbu. Kemudian, saya baru memulakan penelitian terhadap pedang ini setelah mendapat izin daripada Kementerian Wakaf. Saya berbesar hati apabila mendapat penghormatan untuk meneliti pedang berkenaan.
Dalam penelitian ini, saya menggunakan dua metode, iaitu metode arkeologi dan metode sejarah. Dengan kedua-dua metode ini, saya akan dapat menguatkan lagi alasan-alasan yang sesuai dengan fakta dan logik. Bagi sesiapa yang ingin menulis tentang kisah pedang Rasulullah s.a.w., dia hendaklah mempelajari dan mengamati pelbagai jenis peninggalan Rasulullah s.a.w. tersebut sesuai dengan buku-buku sejarah serta sumber lainnya menurut aspek sejarah yang mendukung.
Sementara itu, jika ingin  meneliti daripada aspek arkeologi dan seni, dia hendaklah mempelajari sejarah pedang-pedang pada zaman Rasulullah s.a.w. dan awal zaman Islam secara umumnya, yang dilihat daripada bahan-bahannya, cara dan tempat pembuatan serta ciri-cirinya, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Hasan al-Tuhami, wakil Perdana Menteri.”


Kedua

.      Sebahagian ahli sejarah menyatakan bahawa peninggalan pedang tersebut adalah milik keturunan Ibrahim Bainabi’. Malah, ada riwayat yang menyatakan bahawa Bani Ibrahim yang mendapat pedang ini daripada nenek moyang mereka secara turun-temurun hingga zaman Rasulullah s.a.w.

Pada abad ke-7 Hijrah, seorang Arab di Mesir yang berasal daripada keturunan Bani Hana telah memberi barang peninggalan Rasulullah s.a.w. ini daripada Bani Ibrahim. Kemudian, barang peninggalan ini telah dipindahkan ke Mesir. Untuk keperluan barang peninggalan ini, dia membangunkan sebuah tempat khas yang diberi nama Ribat al-Athar.

Ibnu Daqmaq menyebutkan tempat ini dengan nama ar-Ribath al-Shaby al-Tajy, yang dikaitkan dengan pemiliknya, al-Sohib Tajuddin, yang kini dikenali dengan nama Atharun Nabi (Peninggalan Nabi s.a.w.)

Pada abad ke-11 Hijrah, Imam Sayuti mengutarakn tentang Ribath yang mana tempat ini masih dipenuhi orang-orang yang sembahyang dan para pengunjung sehingga keadaan negara berubah menjadi kacau-bilau. Untuk mengelakkan barang peninggalan Rasulullah s.a.w. dicuri, akhirnya ia dipindahkan ke tempat yang selamat.

Seorang ahli sejarahwan, Hasan Ibn Husain yang dikenali dengan nama Ibnu Thalun, menyatakan bahawa Sultan al-Ghuri telah membina sebuah kubah yang berhadapan dengan sekolah arkeologi yang dimilikinya.

Ada riwayat yang menyatakan bahawa barang peninggalan Rasulullah s.a.w. berada di dalam Kubah al-Ghuri sealam tiga abad lamanya (sampai tahun 1275 Hijrah). Kemudian, barang peninggalan Rasulullah s.a.w. itu telah dipindahkan ke Masjid Sayidah Zainab r.a. sebagaimana kata Mahmud al-Bablawi. Dia menyatakan bahawa barang peninggalan Rasulullah s.a.w. tersebut telah berada di dalam Kubah al-Athar (sampai tahun 1275 Hijrah).

Setelah itu, barang peninggalan Rasulullah s.a.w. dipindahkan ke gudang barang-barang antic di Qal’ah dengan diarak oleh orang awam. Barang peninggalan ini berada di sini hingga tahun1304 Hijrah. Kemudian, dipindahkan ke Dewan Umum Wakaf. Pada tahun 1305, dipindahkan ke Istana Abidin. Namun, atas perintah Khudaiwi Taufiq Pasya, barang peninggalan Rasulullah s.a.w. itu dipindahkan ke Masjid Sayidina Husain r.a.

Mahmud al-Bablawi juga menyatakan bahawa dalam cadangannya:

“Peninggalan bersejarah itu masih terus dijaga dan disimpan di dalam almari “al-Makan” hingga Khudaiwi Abbas Hilmi II memerintahkan agar dibina sebuah ruangan khas untuk menempatkan barang peninggalan Rasulullah s.a.w. tersebut. Akhirnya, lokasi ruangan itu berada di sebelah timur Masjid Sayidina Husain r.a. dan di sebelah selatan dinding kubah masjid hingga sekarang.”

Sejarah Pedang al-‘Adbu telah diketahui secara sahih oleh Ustaz al-Tuhami, wakil Perdana Menteri. Beliau menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah memberikan pedang ini kepada Sayidina Ali r.a. dan seterusnya beliau memberikan kepada anaknya, Sayidina Husain r.a. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa Pedang al-‘Adbu adalah pedang yang disimpan di gudang senjata Istana Fatimiah pada ketika itu.



Kisah Rasulullah S.A.W.

Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w. memperkenalkan Pedang al-‘Adbu kepada para Sahabatnya, lalu Baginda berkata, “Siapakah yang ingin berperang dengan menggunakan hak pedang ini?”. Kemudian Baginda ditanya, “Apakah hak pedang ini, wahai Rasulullah?”. Jawab Baginda, dia hendaklah bertempur dengan pedang ini sampai bengkok atau melengkung.

Akhirnya, seorang sahabat yang bernama Sayidina Abu Dujanah r.a. yang terkenal dengan pengikat kepala berwarna merah, telah dipilih untuk menggunakan pedang tersebut. Kemudian, beliau pun pergi berperang untuk menentang kaum Musyrikin dalam Perang Uhud.

Apabila Pedang al-‘Adbu itu melengkung, beliau akan mengasahnya semula di atas batu. Dengan cara inilah beliau berperang sehingga Allah S.W.T. akhirnya memberikan kemenangan buat kali kedua kepada tentera Islam dalam Perang Uhud.

Daripada Anas dan Tabrani daripada Ubadah Ibn Nu’man dan Ishak Ibn Rahawiyah dan al-Bazzar daripada Sayidina Zubair Ibn Awwam r.a. mereka pun berkata, “Rasulullah s.a.w. memperlihatkan sebilah pedang di hari Uhud, lalu mereka pun mengangkat tangan. Setiap orang berkata, “Saya wahai Rasul!”. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Siapakah yang akan mengambil pedang ini dan menunaikan haknya?”. Maka ketika itu, beberapa orang Sahabat pun berdiri untuk mengambil pedang tersebut. Namun, Rasulullah s.a.w. enggan memberi kepada mereka.

Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w. menunjukkan Pedang al-‘Adbu. Lalu Sayidina Umar r.a. memintanya daripada Baginda, namun Baginda enggan memberi kepadanya. Kemudian, Sayidina Zubair r.a. pula meminta pedang berkenaan, namun Baginda tetap enggan memberi kepadanya.

Daripada Qatadah Ibn Nu’man telah meriwayatkan bahawa Sayidina Ali r.a. berdiri lalu meminta Pedang al-‘Adbu, lalu Rasulullah s.a.w. berkata “Duduklah wahai Ali!”. Baginda pun bersabda kembali, “Siapakah yang akan mengambil pedang ini dan menunaikan haknya? Lantas Sayidina Abu Dujanah r.a. bangkit dan berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w., apakah hak pedang ini?”. Rasulullah s.a.w. pun berkata, “Kamu hendaklah membunuh musuh dengan pedang ini sehingga bengkok.”

Abu Dujanah pun berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w! Akulah yang akan mengambil pedang ini dan menunaikan haknya.” Lalu Rasulullah s.a.w. berkata, “Kalau kamu, jika kuberikan pedang ini kepadamu, maka kamu akan bertempur di posisi belakang.” Lalu Abu Dujanah berkata, “Tidak, wahai Rasulullah!” Akhirnya, Rasulullah s.a.w. pun memberikan Pedang al-‘Adbu kepada beliau.

Kemudian, beliau berjalan dengan lagak sombongnya. Lantas Rasulullah s.a.w. terus berkata, “Sesungguhnya berjalan sedemikian adalah dimurkai Allah S.W.T. kecuali di tempat ini.”

Sayidina Zubair r.a. berkata, “Ketika Rasulullah s.a.w. memberikan Pedang al-‘Adbu kepada Abu Dujanah r.a. sebenarnya aku juga pernah meminta pedang itu, namun Baginda enggan memberi kepadaku. Aku adalah anak Sofiyyah, ibu saudara Rasulullah s.a.w. Aku telah berdiri untuk meminta pedang tersebut sebelum Abu Dujanah r.a. berbuat demikian. Tetapi akhirnya, Baginda memberikan pedang itu kepada Abu Dujanah r.a.”

Sayidina Zubair pun berkata, “Abu Dujanah r.a. telah membunuh orang-orang Musyrikin yang beliau temui, dan juga telah berjaya mengucar-kacirkan kekuatan pihak lawan.”

Akhirnya, mereka berdua bertemu dan saling melancarkan serangan ke atas kaum Musyrikin dalam Perang Uhud. Pertempuran di medan perang bertambah sengit apabila tentera Musyrikin menyerang bertubi-tubi ke atas Abu Dujanah dan tentera Islam. Namun, serangan tentera Musyrikin telah berjaya dipatahkan. Abu Dujanah membalas serangan terhadap tentera Musyrikin hingga banyak musuh terkorban di tangan beliau.

Ibnu ‘Uqbah pernah menyatakan bahawa Ka’ab Ibn Malik r.a. berkata, “Seorang dalam kalangan Musyrikin keluar menuju ke arah orang-orang Islam sambil berkata, “Berkumpullah kalian seperti kambing-kambing sembelihan.”

Tiba-tiba seorang dalam kalangan orang Islam berdiri dan mahu menentang tentera Musyrikin itu sambil mengangkat pedangnya. Aku pun berangkat pergi hingga aku berada di belakang Abu Dujanah r.a.

Daripada pengamatanku, aku dapat merasakan bahawa orang kafir lebih baik dan lebih sistematik pertahanannya. Namun, aku masih tetap menyaksikan kedua-duanya sehingga mereka bertempur di medan perang. Akhirnya, Abu Dujanah r.a. berjaya menikam bahu orang kafir itu dan melibaskan pedangnya sehingga terkena kedua-dua pangkal paha si kafir tersebut. Dengan semangat juang yang tinggi, beliau berjaya memecahbelahkan kekuatan pasukan lawan. Akhirnya, tentera Islam itu memperlihatkan wajahnya yang sebenar sambil berkata, “Wahai Ka’ab! Bagaimanakah kamu menyaksikan perang ini? Aku adalah Abu Dujanah r.a.”

Sayidina Zubair r.a. berkata, “Aku melihat Abu Dujanah membawa kepala Hindun binti Utbah dan aku pun berkata kepadanya, “Aku kagum akan segala usahamu, tetapi mengapakah kamu membunuh seorang wanita?” Lalu jawab Abu Dujanah, “Wanita itu telah memanggil, “Wahai batu! Namun, tidak ada seorang pun mempedulikannya.”

Dalam versi lain disebutkan, “Apabila aku melihat seseorang yang membuatkan orang-orang Islam marah, aku akan menghadapinya serta menyerangnya dengan pedangku.” Ternyata dia adalah seorang wanita. Aku tidak sedap hati untuk menyerang wanita yang tiada penolongnya dengan pedang Rasul ini. Aku berkata, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”


Latar Belakang Sayidina Abu Dujanah r.a.

   .     Beliau adalah seorang yang berani di medan perang
   .     Seringkali memakai pengikat kepala berwarna merah ketika berperang
   .     Pengikat kepalanya menjadi sebutan dalam kalangan orang Arab pada waktu       itu.


Selendang   yang  digunakan oleh Rasulullah SAW ketika berperang.                       

Pedang al-‘Adbu


a) Mata pedang diperbuat daripada besi waja
b) Mempunyai beberapa lubang kecil yang sangat tajam.
c) Sarung pedang diperbuat daripada kayu yang dilapisi kulit.
d) Terdapat hiasan yang diperbuat daripada tembaga yang siap diukir di   bahagian atas dan bawah pedang.
e) Hujung sarung pedang dihiasi dengan tinta emas.

f) Tertera lisan Arab “Muhammad Rasulullah daripada Sa’ad Ibn Ubadah” yang  panjangnya kira-kira 3.5 sm pada salah satu mata pedang.


Tahukah Anda?
.    Pedang ini dinamakan sebagai al-‘Adbu kerana mempunyai beberapa lubang kecil yang sangat tajam setelah diasah oleh Sayidina Abu Dujanah r.a. setiap kali pedang ini disaluti darah musuh.
.    Mata Pedang al-‘Adbu terdapat bekas asahan dan sedikit bengkok pada bahagian atas pedang.


Info

 Kini Pedang al-‘Adbu disimpan di Masjid Sayidina Husain r.a, Kaherah, Mesir.
Sarung hulu pedang Al Adbu yang tersimpan didalam Masjid Saidina Hussein R.A di Kaherah, Mesir

Pedang Al Adbu yang tersimpan didalam Masjid Saidina Hussein R.A di Kaherah, Mesir



sila klik BAJU PEDANG 'Al - Adbu' 


No comments:

Post a Comment